Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ADUN Seri Delima RSN Rayer berdepan dua pertuduhan di bawah Akta Hasutan kerana didakwa mengeluarkan perkataan "celaka" kepada tiga pemimpin Umno.

Rayer didakwa di mahkamah sesyen di Pulau Pinang hari ini di bawah Seksyen 4(1)(b) kerana mengeluarkan perkataan itu dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada jam 9.30 pagi 20 Mei.

Wakil rakyat DAP itu turut dituduh mengucapkan perkataan itu dalam satu ceramah dua hari kemudian, semasa pilihan raya kecil Bukit Gelugor.

Kes itu akan disebut pada 17 Oktober.

Hakim Zulhazmi Abdullah mendengar kes pertama manakala peguam Gobind Singh Deo, Ramkarpal Singh dan S Raveentharan mewakili Rayer.

DPP Razali Che Ani dan Charanjit Singh bertindak sebagai pendakwa.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan beberapa pemimpin DAP, Timbalan Ketua Menteri 1, Rashid Hasnon; Ahli Exco Abdul Malik Kassim dan ADUN Batu Uban, Dr T Jayabalan, hadir menyokong Rayer. [Berita lanjut menyusul]

Sementara itu, Bernama melaporkan Rayer menghadapi dua tuduhan menyebut kata-kata menghasut di persidangan DUN dan ceramah di Jalan Delima, Island Glades Jelutong, di George Town Mei lepas.

    

Rayer, 43, yang juga seorang peguam, turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pilihan mengaibkan dan membangkitkan kemarahan ahli-ahli Umno dengan melafazkan kata-kata menghasut pada ceramahnya itu.

    

Di Mahkamah Sesyen 2, Rayer didakwa menyebut kata-kata menghasut itu ketika sesi perbahasan di dalam DUN Pulau Pinang, pada pukul 9.30 pagi, 20 Mei lepas.

    

Wakil rakyat itu menghadapi pertuduhan berkenaan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Razali Che Ani memohon jaminan RM20,000 atas alasan kes berkenaan merupakan kes berprofil tinggi dan kejadian berlaku di dalam DUN.

Rayer yang diwakili tiga orang peguam, diketuai Gobind Singh Deo, memohon mahkamah mengurangkan jaminan RM2,000 atas alasan dia memberi kerjasama sepenuhnya sepanjang siasatan.

    

"Beliau seorang peguam, berumah tangga di Pulau Pinang dan merupakan Adun di kawasan Seri Delima. Tidak ada kemungkinan untuk beliau melarikan diri," kata Gobind Singh.

    

Hakim Zulhazmi Abdullah membenarkan Rayer diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

    

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen 1, Rayer didakwa menyebut kata-kata menghasut pada ceramahnya di Taman Permainan Kanak-kanak, Jalan Delima Island Glades, Jelutong di George Town pada jam 10 malam, 22 Mei lepas.

    

Untuk kesalahan itu dia didakwa menurut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, jika sabit kesalahan.

    

Rayer turut didakwa atas pertuduhan pilihan mengaibkan dan membangkitkan kemarahan ahli-ahli Umno dengan melafazkan kata-kata menghasut itu yang boleh memecahkan keamanan awam, di tempat dan pada masa serta tarikh yang sama.

    

Dia didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    

Hakim Zaharah Hussain membenarkan Rayer diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin. Pendakwaan dilakukan oleh Razali.

    

Kedua-dua mahkamah menetapkan 17 Okt untuk sebutan semula kes.

Lihat Komen
ADS