Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata badan kebajikan Unit Amal parti itu tidak perlu didaftarkan kerana dibentuk sebagai biro parti tersebut.

Katanya, penubuhan Unit Amal dibuat melalui fasal 54(9)(d), yang memperuntukkan bahawa Dewan Pemuda PAS boleh membentuk lajnah atau biro yang difikirkan perlu dengan persetujuan mesyuarat.

"Oleh itu Unit Amal tidak perlu didaftarkan kepada ROS. Setiap tahun aktiviti unit amal dilaporkan dalam laporan tahunan Dewan Pemuda PAS Pusat yang dibentang dalam muktamar Dewan Pemuda.

"Sudah 23 tahun sejak unit ini wujud, laporan aktivitinya telah dilaporkan kepada ROS.

"Saya sedia bersemuka dengan Zahid Hamidi untuk selesaikan berkaitan Unit Amal. Kita mahu beliau bersikap proffesioanal dan terbuka," katanya yang menjelaskan, Unit Amal dikawal selia bawah Dewan Pemuda PAS Pusat.

Beliau berkata beliau akan meneliti perkembangan isu tersebut sebelum menyatakan lebih terperinci tarikh dan masa untuk beliau bertemu Zahid.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata sepatutnya kerajaan berterima kasih kepada unit yang memimpin dan melatih anak muda terlibat dengan kerja amal dan kebajikan daripada terlibat dengan masalah sosial.

 

Sebaliknya, beliau yang juga bekas ketua pemuda PAS menegaskan bahawa kumpulan seperti ini perlu dibantu dengan bantuan kewangan untuk tujuan itu.

6,000 anggota

Unit Amal mempunyai kira-kira 6,000 anggota yang berdaftar di seluruh negara.

Turut hadir dalam sidang media Setiausaha Pemuda PAS Mohd Nasaie Ismail dan Pengerusi Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Pemuda PAS (Juham) Nor Azmir Zakaria.

Sementara itu, Nor Azmir berkata beliau pernah mengendalikan kes berkaitan pendaftaran unit itu ke ROS di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas beberapa anggota Unit Amal dibicarakan kerana terlibat dalam demonstrasi Mansuhkan ISA.

Bagaimanapun, mahkamah itu memutuskan tiada prima facie dalam kes tersebut yang berlangsung beberapa tahun lalu bahawa unit itu perlu didaftarkan bawah ROS.

"(Maka) ia telah teruji di mahkamah. Oleh itu hentikan (perkara) ini. Jangan buang masa dan buang duit rakyat," katanya.

Dalam sidang media berasingan, Ketua Penerangan Datuk Mahfuz Omar berkata kenyataan Zahid itu sebagai "mencari populariti" dalam Umno bagi mengelak dirinya terkeluar jika berlaku rombakan Kabinet.

"Beliau berada dalam ketidaktentuan masa depan (dalam kabinet) lalu YB (Zahid) terpaksa mengambil tindakan daripada kebodohan YB sendiri. Saya minta Zahid supaya bertenang," katanya.

Lihat Komen
ADS