Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda temui 3 pemimpin Pakatan selesai isu MB
Diterbitkan:  Sep 8, 2014 5:21 PM
Dikemaskini: 9:30 AM

Pemuda Pakatan Rakyat akan mengadakan pertemuan dengan tiga pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat secara berasingan bagi menyelesaikan krisis menteri besar Selangor yang lama berlarutan.

Mereka akan mengadakan pertemuan itu dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dalam masa terdekat.

Keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat Pemuda Pakatan Rakyat petang ini.

"Pemuda Pakatan Rakyat telah bermuafakat menggesa kepimpinan utama Pakatan Rakyat untuk menyelesaikan krisis Menteri Besar Selangor dengan segera.

"Kami akan mengadakan pertemuan secara berasingan... dalam waktu terdekat untuk menyampaikan hasrat Pemuda Pakatan Rakyat dan harapan anak muda Malaysia," kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

Kenyataan bersama itu dipersetujui Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat, Ketua AMK Nik Nazmi Ahmad dan Ketua Pemuda DAP Teoh Kok Seong.

Dalam kenyataan itu juga, mereka mahu bertemu Menteri Pertahanan Datuk Seri Zahid Hamidi untuk memohon penjelasan segera berkaitan isu penangkapan individu bawah Akta Hasutan dan Akta Keharmonian Nasional.

Pandang serius

 

Memandang serius penangkapan itu, pertemuan itu dijangka diadakan pada Khamis ini di Kementerian Dalam Negeri jam 11.00 pagi.

"Ini merupakan permulaan kepada kempen Pemuda Pakatan untuk memastikan akta ini dimansuhkan serta-merta dan memastikan agar tiada lagi rakyat Malaysia menjadi mangsa undang-undang tersebut," katanya.

Mereka turut mendesak pihak berkuasa membuka kembali kertas siasatan berhubung kematian pembantu politik DAP, Teo Beng Hock lima tahun lalu.

Ia selepas Mahkamah Rayuan sebulat suara menukar keputusan terbuka koroner dalam inkues kematiannya.

"Kami menggesa Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) untuk memastikan siasatan terperinci dan telus segera dilakukan demi mencari kebenaran

"Sebarang penemuan berhubung kes ini pastinya menjadi amat signifikan kerana banyak kematian dalam tahanan pihak berkuasa samada kes Ahmad Sarbaini dan lain-lain," kata mereka.

Mereka juga akan menyokong mana-mana calon yang akan ditentukan oleh Majlis Presiden Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Pengkalan Kubor dan akanberkempen secara bersungguh-sungguh demi memenangkan calon Pakatan.

Lihat Komen
ADS