'Ahmad Idham pun tahu' - Afdlin jawab dakwaan ‘kroni’ FFM35
Ketua Cabang PKR Setiawangsa Afdlin Shauki Aksan menafikan wujud unsur kronisme dalam pemilihannya sebagai pengacara bersama Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35), Sabtu lalu.
Pengarah dan pelakon itu mengulas hantaran bekas ketua pegawai eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Ahmad Idham Ahmad Nadzri, yang membangkitkan isu kronisme dalam penganjuran festival berkenaan.
“Benda semua ikut peraturan, kita ada badan integriti.”
“Kalau (saya) tak boleh (jadi pengacara), takkan dibenarkan. Dia (Ahmad Idham) pun tahu, dia mantan CEO,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Bukan dituju pada pemenang
FFM35 dianjurkan Finas dengan sokongan Kementerian Komunikasi dan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 21 Nov.
Afdlin mengacarakan acara itu bersama pelakon Amelia Henderson.
Dalam beberapa hantaran di Threads semalam, Ahmad Idham berkata dia menerima banyak pertanyaan untuk mengulas penganjuran festival berkenaan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/11/1d300353f00df77af76bc358214eb539.jpg)
“Satu je ayat saya, kroni...Sekian terima kasih,” katanya.
Bekas ahli Bersatu yang pernah bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson menggunakan lambang Pejuang pada PRU15 itu kemudian menjelaskan dakwaannya tidak ditujukan kepada penerima anugerah.
“Isu kroni tu bukan saya tuju pada pemenang ya. Itu ok je sebab kita tau juri bertauliah.
“Sekadar menyatakan pandangan peribadi saya yang pelik. Dah kalau yang duduk di ‘kerusi kuasa’ tu kawan baik, satu parti, ahli board (lembaga pengarah), penerima dana, (dan) kini dia juga la dapat ‘job’ acara (sic) Finas...so?” katanya.
Ahmad Idham yang juga bekas ketua pegawai eksekutif Finas (Jun 2020 ke Sept 2021) bagaimanapun tidak menamakan mana-mana individu dalam hantaran berkenaan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/10/372f2f75e3751ed88d16a9d1b17a0b04.jpg)
Finas kini dipengerusikan Gerald Hans Isaac, yang dilantik semula ke jawatan itu pada 26 Mac 2025. Hans juga pernah menjadi anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR bagi penggal 2022 hingga 2025.
Biodata tulisan bersama Afdlin yang disiarkan Bernama pada 8 Mei lalu pula menyenaraikannya sebagai ahli perbadanan dan pengerusi Skim Wajib Tayang Finas.
Tak berniat sindir Aina
Dalam perkembangan berasingan, Afdlin turut memohon maaf kepada Aina Abdul sekiranya gurauannya ketika mengacarakan FFM35 membuatkan penyanyi itu tidak selesa.
Permohonan maaf itu dibuat selepas rakaman video jenakanya mengenai penampilan Aina tular dan mengundang kritikan di media sosial.
Penyanyi dan cef selebriti Fazley Yaakob turut mengkritik jenaka itu, menyifatkan sindiran terhadap busana Aina sebagai tidak wajar serta menggesa bakat penyanyi itu dihargai.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/11/78e82a1f232cc8007d54ac93a6b633cf.jpg)
“Aina, kalau cara abang bergurau malam tu buat Aina rasa tak selesa, abang minta maaf. Abang tak berniat nak menyindir Aina.
“Abang memang big fan, dan insya-Allah kalau ada rezeki, abang teringin sangat nak bekerja dengan Aina suatu hari nanti,” katanya menerusi hantaran di Threads hari ini.
Ketika membuka acara pada Sabtu lalu, Afdlin berseloroh meminta Aina atau sesiapa yang berpakaian sepertinya duduk di bahagian belakang dewan kerana bimbang menghalang pandangan kamera.
“Aina Abdul? Aina Abdul atau orang-orang yang pakai baju macam dia diminta duduk di belakang dewan, sebab anda ‘block camera’, dan juga YB menteri mungkin tak nampak kalau anda duduk depan.
“So ada? Tak ada? Tak ada takpe. Anda semua selamat, kita boleh mulakan show dan jalan dengan pantas,” katanya.
/file/attachments/orphans/fasdasdasd_861081.jpg)
Mengulas kritikan itu, pengarah filem Buli dan Buli Balik berkenaan menjelaskan jenakanya merujuk kepada gaya fesyen Aina yang terkenal dengan penampilan unik dan menyerlah.
Dia menafikan berniat memperlekehkan bentuk fizikal penyanyi berkenaan.
“Abang sendiri dah lama menerima komen tentang tubuh badan, jadi abang tahu macam mana rasanya bila badan kita dijadikan bahan lawak.
“Abang sebut nama Aina sebab gaya dia cukup kuat sampai orang terus kenal. Keberanian dia itulah yang abang nak tonjolkan,” jelasnya.
Menurut Afdlin, dia pernah menggunakan pendekatan jenaka sama terhadap rakan artis lain, namun potongan video yang tular boleh menimbulkan salah faham apabila ditonton tanpa konteks penuh.
“Sebab itu abang rasa elok abang beri konteks sendiri. Kepada yang menegur, abang dengar. Kepada yang dah lama tak berkenan dengan abang, abang doakan yang baik-baik juga.
“Abang jauh daripada sempurna. Abang cuma cuba buat sebaik mungkin dalam kerja dan dalam hidup,” katanya lagi.
Lapor komen ini
/file/attachments/orphans/FestivalFilemMalaysia1_603812.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.