Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Islam tidak pernah menetapkan bentuk sesebuah negara untuk ia dikatakan sebuah negara Islam. Sistem beraja pernah dan masih menjadi bentuk sebuah negara yang tertegak dalamnya nilai dan perundangan Islam.

Sebuah negara demokrasi juga boleh menjadi pemerintahan Islam begitu juga sebuah negara republik tidak akan menghalang tertegaknnya pemerintahan Islam. Islam dan pemerintahan menjangkau perbahasan bentuk dan format kerana nilai pemerintahan yang bermatlamatkan keadilan adalah tanda aras kepada sebuah pemerintahan.

Tidak ada maknanya walaupun apa nama negara yang dibentuk tetapi keadilan dikesampingkan waima nama negara itu dinamakan dengan nama Islam sekalipun.

Raja atau sultan merupakan individu yang memainkan peranan besar dalam menjelmakan nilai pemerintahan Islam dalam dunia dan alam Melayu. Peranan besar yang dimainkan ini berjaya membentuk institusi kesultanan atau institusi beraja yang sinonim dengan bentuk perlindungan kepada kedaulatan Islam sehingga mereka menamakan diri sebagai zillullah fil ardh (bayangan Allah di bumi).

Walaupun tradisi beraja sejak zaman pra-Islam telah pun memakai konsep ini dengan kesesuaian dogma kepercayaan waktu itu, konsep figura suci raja-raja setelah datangnya Islam diberi makna baru kepada perlindungan syariat dan menegakkan keadilan dalam kerangka syariat Islam.

Transformasi sistem kesultanan kepada kerangka Islam tidak syak telah memainkan peranan Islam dijelmakan dalam bentuk kedaulatan sebagai kerajaan. Oleh kerana Islam tidak mengenali perpisahan antara kerajaan dan agama maka ulama sebagai institusi menjadi penasihat supaya raja-raja Melayu tidak tergelincir daripada ajaran Islam.

Namun demikian hubungan Islam dengan kesultanan kadangkala dicemari dengan kebimbangan tidak dapat mengekalkan status quo kuasa.

Nilai kebebasan bersuara

Dengan kata lain faktor kuasa dan kecenderungan mempertahankannya termasuklah mereka yang mendapat manfaat menumpang kuasa kadangkala mengabaikan nilai utama pemerintahan iaitu hak kebebasan bersuara dan menegur pemerintahan.

Pertembungan antara melindungi kuasa dengan memberikan hak bersuara sering menyaksikan natijah yang lebih berpihak kepada melindungi kuasa lebih diutamakan. Kebebasan bersuara yang dianggap tidak banyak berpihak kepada kepentingan dapat terus berkuasa akan berpotensi diabaikan malah kadangkala dibenamkan.

Demikianlah halnya dengan apa sahaja bentuk kerajaan yang wujud dulu dan sekarang konflik antara memberikan hak kebebasan bersuara dan menjaga kepentingan kuasa akan membentuk hubungan yang menekan antara kerajaan dan rakyat.

Hari ini negara kita telah memeluk konsep dan bentuk negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen di mana institusi beraja mempunyai kuasa dalam kerangka perlembagaan yang mendefinasikan kuasa raja atau sultan. Istilah yang digunakan ialah raja berperlembagaan.

Hakikat bahawa institusi beraja dipandu oleh perlembagaan telah membezakan kita dengan konsep absolute monarchy atau “raja mutlak” yang mempunyai kuasa penuh ke atas perjalanan kerajaannya.

Walau apapun status raja dalam kategori kuasa, Islam meletakkan beberapa prinsip asas dalam memahami konsep pemerintahan demi memelihara nilai kebebasan bersuara supaya tidak diabaikan dan dibenamkan.

Hak bersuara adalah sebahagian dari maksud kemuliaan insan yang diiktirafi oleh Islam dalam Al Isra’ ayat 79.

Prinsip asas ini mestilah dipatuhi dan dibela oleh kerajaan dan rakyat kerana antara mempertahankan kuasa yang dimiliki oleh kerajaan dengan mempertahankan hak kebebasan bersuara maka mempertahankan hak kebebasan bersuara adalah lebih utama kerana kerajaan dengan kuasanya boleh datang dan pergi tetapi hak kebebasan bersuara akan kekal selamanya.

Kritikan dengan kasih

Justeru itu, Islam meletakkan beberapa prinsip asas:

- Kekuasaan mutlak (absolute and eternal) hanyalah pada Allah SWT yang menentukan kuasa kepada siapa yang Dia dikehendaki. Segala kuasa lain termasuk kuasa kerajaan atau raja hanyalah sementara yang dipinjamkan. Segala sesuatu yang sementara (temporal) bermakna kuasa mereka mestilah dilaksanakan mengikut kehendak dan perintah pemilik mutlak. Jika ‘peminjam’ membuat sesuatu luar daripada ditetapkan maka menegur kerajaan atau raja tidak boleh dianggap derhaka malah merit teguran itu mesti diadili atas neraca Allah SWT yang mempunyai milik mutlak kuasa.

- Sahsiah figura atau ketua negara atau apa sahaja istilah yang digunakan seperti perdana menteri, presiden atau raja bukanlah suci daripada sebarang kesalahan dan kerana itu keperluan menegur adalah sesuatu yang pasti. Menganggap mana-mana figura yang berperanan sebagai ketua tidak boleh ditegur kerana kemaksumannya atau sakralnya dia adalah khurafat besar yang mesti dihapuskan. Budaya Melayu mengajar kita dari kata-kata Jebat yang malangnya dikaitkan dengan penderhakaan, “raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah.”

- Raja atau perdana menteri atau presiden adalah aparatus untuk menegakkan keadilan dan membela hak kepada yang berhak. Apabila aparatus atau alat gagal berfungsi untuk melaksanakannya maka teguran untuk membetulkan aparatus itu perlu dilakukan kerana tidak mungkin ‘alat’ lebih besar dari matlamat apabila menegur ‘alat’ dianggap derhaka dan tidak patriotik.

- Kuasa dan bebanannya bukanlah kepada kenikmatannya tetapi kuasa dan bebanannya adalah kepada menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan insaf. Raja atau perdana menteri berada pada tempatnya untuk menjadi contoh unggul dan paling utama akhlak seseorang raja ialah berendah diri dengan kuasa. Raja yang berendah diri dengan kuasanya dan bersedia ditegur adalah raja yang berhati dijiwa rakyat dan apabila seseorang berada di hati kita, maka hubungan raja dan rakyat adalah hubungan kasih.

Islam menentang sikap kuku besi kerana segala nilai kebebasan menegur dan mengkritik secara membina tidak akan menemui cahaya harapan.

Berbeza dengan set minda doktrin yang menganggap kritikan kepada raja adalah penderhakaan, Islam meletakkan teguran kepada raja sebagai kasih untuk menyelamatkan ketua dan untuk memelihara kepentingan umum.

Rasulullah SAW bersabda: “Tolonglah saudara kamu yang zalim atau yang dizalimi”.

Berkata seorang lelaki, “Wahai Rasulullah, aku akan menolongnya jika ia dizalimi, bagaimana pula aku akan menolongnya jika dia seorang yang zalim?”

Jawab baginda: “Engkau boleh menahannya daripada melakukan kezaliman, maka yang demikian bererti engkau menolongnya.” (Riwayat Bukhari)

Hubungan raja dan rakyat adalah hubungan kasih dipandu oleh ajaran agama Islam yang suci kerana raja dan rakyat berpisah tiada seperti umat dan syariat terikat padu bagaikan satu.


MUJAHID YUSOF RAWA ialah ahli parlimen Parit Buntar daripada PAS.

Lihat Komen
ADS