Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Bayi perempuan berusia lapan bulan yang cedera parah di bahagian muka dan kepala akibat digigit seekor biawak di Pulau Tioman semalam, kini berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Datuk Ayub Rahmat berkata doktor dan kakitangan HSA terus memantau keadaan kesihatan bayi terbabit di wad kanak-kanak hospital berkenaan selepas dipindahkan dari Hospital Mersing semalam.

"Keadaan bayi itu stabil. Bayi terbabit mengalami kecederaan di bahagian muka akibat dicakar haiwan itu dan doktor telah mencuci luka itu serta menjahitnya.

"Pihak hospital terus memantau keadaan kesihatannya terutama di bahagian yang mengalami kecederaan itu kerana bimbang dijangkiti bakteria," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Menurut Ayub, bayi perempuan itu dimasukkan ke wad di HSA 8.30 malam semalam selepas menempuh perjalanan selama beberapa jam dari Mersing.

Ketua Polis Daerah Rompin DSP Johari Jahaya berkata kejadian itu berlaku pada 10 pagi semalam di kuarters pekerja Berjaya Resort di Pulau Tioman, ketika bayi itu diletakkan di lantai dapur oleh ibunya yang mahu mengambil sesuatu.

Ibunya hanya menyedari sesuatu berlaku apabila terdengar tangisan anaknya sebelum mendapati biawak terbabit sedang menggigit dan mencengkam kepala anaknya itu, katanya.

Johari berkata biawak itu cuba menarik keluar bayi itu dari dapur rumah berkenaan ke kawasan semak berhampiran.

Beliau berkata ibu bayi itu bagaimanapun berjaya menyelamatkan anaknya sebelum meminta bantuan orang awam membawa bayinya ke Klinik Kesihatan Tekek Pulau Tioman untuk menerima rawatan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS