Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu disyaki mengidap demam denggi tengah malam tadi dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR).

Menurut pembantu peribadinya, Tajuddin Othman, Mohamad mengalami demam panas beberapa hari lalu sebelum bertolak ke Krabi, Thailand untuk menyampaikan sumbangan ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.  

Ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini, Tajuddin berkata apabila pemimpin PAS yang mesra dipanggil 'Abang Mat' itu tiba di Kuala Lumpur semalam, beliau terus dimasukkan ke hospital itu untuk mendapatkan rawatan susulan.

“Beliau ke Krabi cuma satu hari, itupun untuk memberi sumbangan buat ibadah korban di sana.

"Apabila pulang ke Malaysia, beliau terus mendapatkan rawatan dan doktor mengesahkan beliau disyaki (mengidap demam) denggi," katanya.

Tajuddin berkata sebelum bertolak ke Krabi, pemimpin yang dikenali Mat Sabu pergi ke klinik untuk mendapatkan rawatan.

Bbagaimanapun, kata Tajuddin, doktor hanya memberikan ubat biasa tanpa mengesyaki beliau dijangkiti denggi.

Menurut Tajuddin lagi, keadaan Mat Sabu kini semakin pulih dan panas badannya sudah mulai berkurangan.

"Jika demam beliau sudah kurang, mungkin beliau akan keluar hospital hari ini. Tapi kita tunggu laporan doktor sehingga petang ini," katanya.

Lihat Komen
ADS