Exco Pemuda Amanah Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda secara sinis mempersoalkan bilakah Setiausaha Agung Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki akan menggerakkan tabung bagi membantu memulihkan wang negara yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.

Persoalan itu dibangkitkan susulan tindakan Umno melancarkan Tabung Solidariti Najib Razak bagi membantu bekas perdana menteri, Najib Razak membayar denda RM50 juta yang menjadi syarat kepada pengampunan bersyaratnya.

Lebih mengejutkan katanya, Asyraf Wajdi mengumumkan sebanyak RM634,562.02 berjaya dikumpulkan dalam tempoh tiga jam selepas tabung itu dilancarkan.

“Jika Umno mempunyai kemampuan menggerakkan jentera sehingga ratusan ribu ringgit dapat dikumpulkan dalam masa beberapa jam, mengapa kekuatan yang sama tidak digerakkan untuk membantu negara memulihkan kerugian akibat skandal kewangan yang berlaku ketika Najib menjadi Perdana Menteri?

“Di manakah Tabung Solidariti untuk rakyat Malaysia? Di manakah kutipan besar-besaran untuk membantu memulihkan dana negara?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Fadhli, Najib telah disabitkan bersalah oleh mahkamah atas tujuh pertuduhan melibatkan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram berkaitan RM42 juta dana SRC International, dengan sabitan itu kemudiannya dikekalkan Mahkamah Persekutuan.

“Persoalannya, apakah sebenarnya yang mahu disolidaritikan oleh Umno? Najib Razak bukan sedang dihukum kerana memperjuangkan rakyat," tambahnya.

Semalam Umno mengumumkan parti itu mengambil inisiatif melancarkan kutipan tabung sumbangan bagi membantu Najib melunaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadapnya.

Ini selepas Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Jumaat berkenan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan membenarkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata, kutipan itu terbuka kepada kepimpinan, ahli dan penyokong parti serta mana-mana pihak yang mahu memberikan sokongan secara sukarela.

Semalam Asyraf mengumumkan tabung itu mencatat kutipan lebih RM634,000 dalam tempoh tiga jam pertama selepas dilancarkan.

Beliau berkata keputusan Yang di-Pertuan Agong berhubung pengampunan bersyarat terhadap Najib perlu dihormati, namun ia tidak mengubah hakikat bahawa sabitan jenayah dalam kes SRC telah diputuskan melalui proses mahkamah.

Fadhli turut mempersoalkan kerugian yang dikaitkan dengan 1MDB dan manfaat yang boleh diberikan kepada rakyat sekiranya dana berkenaan dapat dipulihkan.

“Tidak sedarkah Dr Asyraf Wajdi dan Umno bahawa skandal 1MDB telah menyebabkan negara kerugian lebih RM50 billion dengan lebih RM20 bilion dianggap kerugian yang tidak boleh dikembalikan?

"Tahukah Dr Asyraf Wajdi bahawa dengan jumlah RM20 bilion itu sekurangnya 10 hospital pakar, 100 klinik kesihatan, 150 sekolah, 40,000 unit rumah rakyat dan lebih RM100 juta dapat diperuntukkan oleh Kerajaan?” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden DAP Johor, Sheikh Omar Ali, turut mempersoalkan rasional Umno melancarkan tabung untuk membantu Najib yang pernah didakwa menyalahgunakan wang rakyat.

"A salahguna duit orang kampung, kemudian dihukum kerana mengambil duit itu. Bila sampai masa A kena bayar denda, diajak pula orang kampung menyumbang untuk membayarnya. Kemudian sebut 'masyaAllahhh'.. kagum!"

"Duit dari poket orang kampung disalah guna, dari poket orang kampung juga diminta tolong bayarkan denda. Ilmu tahap apakah ini yang nak diajarkan pada rakyat?" soalnya.

Najib mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos 2022, selepas Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya dan mengekalkan sabitan bersalah terhadapnya dalam kes SRC International.

Bagaimanapun, pada 29 Januari 2024, Lembaga Pengampunan mengurangkan separuh hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun dan denda RM210 juta kepada RM50 juta.