Bekas perdana menteri Najib Razak mendapat pengampunan bersyarat untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.

Perkara itu diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim susulan mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, pagi tadi.

Bekas presiden Umno itu akan menjalani tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, sekiranya dia membayar denda RM50 juta.

Perkara itu diumumkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri sebentar tadi.

“Beliau hendaklah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan sekiranya beliau tidak mematuhi mana-mana syarat-syarat tersebut, maka pengampunan bersyarat ini adalah terbatal dan hendaklah secara serta-merta meneruskan baki hukuman di penjara,” menurut kenyataan bahagian itu.

Dia mula menjalani hukuman pada Ogos 2022 selepas disabitkan menyeleweng RM42 juta SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Najib berusaha mendapatkan perintah tahanan rumah dengan berhujah bahawa terdapat titah tambahan yang mengiringi keputusan pengampunan pada 2024, ketika dipengerusikan oleh Agong sebelum ini Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi menolak permohonannya dan dia kemudian menarik balik rayuan terhadap keputusan itu.

Berikut laporan langsung susulan perkembangan terkini hari ini:


21.00 - Sekian laporan langsung Malaysiakini mengenai keputusan Lembaga Pengampunan hari ini berhubung permohonan Najib.

Tiada sesiapa mengatasi undag-undag, tegas Majlis Presiden PH

20.30 - Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) berlangsung di Putrajaya selama dua jam hari ini bagi membincangkan isu semasa negara.

Pertemuan pemimpin utama PH yang berlangsung selama dua jam itu pada awalnya dipercayai membincangkan isu kedudukan BN dalam kerajaan susulan kritikan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.

Mesyuarat itu juga dipercayai membincangkan pengampunan bekas perdana menteri Najib Razak hari ini.

Media yang berkumpul di hadapan Bangunan Perdana Putra di Putrajaya gagal mendapatkan respons daripada pemimpin PH yang meninggalkan lokasi selepas mesyuarat tamat sekitar jam 7.30 malam.

Beberapa pemimpin PH yang keluar menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) gagal dikesan indentiti mereka apabila terus berlalu meninggalkan bangunan berkenaan.

Mesyuarat berkenaan dipengerusi Pengerusi PH, Anwar Ibrahim.

Majlis Presiden PH kemudianya mengeluarkan kenyataan menyokong pendirian Anwar serta Menteri Wilayah Hannah Yeoh dan nasihat peguam negara berhubung pengampunan Najib.

"Majlis Presiden juga menegaskan bahawa tiada siapa yang mengatasi undang- undang. Dan sesiapa sahaja yang disabit kesalahan perlu menjalani hukuman mengikut lunas undang-undang seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," kata kenyataan itu.

Kumpul lebih RM165,000 dalam sejam

18.50 - Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, memaklumkan bahawa kempen kutipan dana yang dilancarkan oleh parti itu bagi membiayai pembayaran denda RM50 juta Najib telah berjaya mengumpul RM165,645 dalam tempoh sejam pertama ia diumumkan kepada umum.

Asyraf menyatakan perkara itu menerusi satu komen pada hantaran Facebook yang turut berkongsi butiran akaun bank bagi inisiatif pengumpulan dana tersebut.

18.30 - Jejas integriti, kata MP PKR

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, mempersoalkan aspek moral pemberian pengampunan bersyarat kepada Najib.

Dalam satu kenyataan, wakil rakyat PKR itu mengakui kesahihan keputusan tersebut dari segi perlembagaan dan undang-undang, namun berpendapat bahawa ia menimbulkan kebimbangan berkaitan sistem keadilan, kesamarataan, dan kedaulatan undang-undang.

"Jika orang berada, orang ternama dan mereka dari golongan elit berkuasa boleh dilepaskan dari penjara dan diganti dengan tahanan di rumah dengan syarat denda RM50 juta dibayar kepada pihak berkuasa, jadi apa ada lagi pada maruah dan integriti negara Malaysia ini, jika kedaulatan undang-undang boleh ditebus dengan wang ringgit?" soalnya.

17.00 – Muda ingatkan Anwar berisiko dikenang sebagai 'bapa penyelamat kleptokrat'

Kerajaan mesti memanfaatkan baki penggal semasanya untuk melaksanakan pembaharuan institusi yang pernah dijanjikan semasa musim pilihan raya, tegas Muda.

Susulan pemberian pengampunan bersyarat kepada Najib, Muda menyatakan bahawa legasi Perdana Menteri Anwar Ibrahim berisiko dicorakkan sebagai "penyelamat kleptokrat" sekiranya dia gagal melaksanakan pembaharuan yang diperjuangkan oleh pentadbirannya.

Antara lain, parti itu menggariskan usaha memperkukuh kebebasan bersuara, memastikan mekanisme semak dan imbang yang sewajarnya bagi institusi awam, serta pemansuhan atau pindaan rang undang-undang yang bersifat zalim sebagai perkara yang memerlukan perhatian berterusan kerajaan.

16:45 - DAP adakan mesyuarat tergempar esok

Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP akan mengadakan mesyuarat tergempar esok bagi membincangkan langkah seterusnya parti itu susulan pengurniaan pengampunan kepada Najib Razak.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menyatakan bahawa parti itu mengekalkan pendiriannya berhubung skandal 1MDB, dengan menuntut keadilan dan akauntabiliti daripada semua pihak yang terlibat dalam penyelewengan dana syarikat pelaburan negara itu.

Menurutnya, pendirian parti itu telah disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh kepada Lembaga Pengampunan dalam kapasitinya sebagai anggota lembaga tersebut.

Anthony Loke at the DAP National Conference, PICC

"Sebagaimana yang telah dijelaskan oleh beliau (Yeoh), pandangan tersebut disampaikan secara jujur dan berterus terang demi kepentingan negara.

"Pada masa yang sama, DAP menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

"DAP sentiasa menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan dan Keluhuran Perlembagaan, di samping mempertahankan kedaulatan undang-undang serta perjuangan menentang rasuah.

"Sehubungan itu, satu mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP akan diadakan esok untuk membincang dan memutuskan pendirian dan tindakan susulan parti," katanya.

16.10 - Puad cadang ahli Umno sumbang RM50 seorang bayar denda RM50 juta Najib

Bekas ahli Majlis Tertinggi Umno yang juga penyokong kuat Najib Razak mencadangkan supaya setiap ahli parti menyumbang RM50 bagi mengumpul dana untuk membayar denda RM50 juta yang dikenakan terhadap bekas perdana menteri itu.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Mohd Puad Zarkashi berkata sasaran itu boleh dicapai sekiranya sejuta daripada lebih tiga juta ahli Umno masing-masing menyumbang RM50.

Puad berkata dia bersedia memberi sumbangan meskipun bukan lagi ahli Umno.

Beza dengan dokumen bocor

15:40 - Pemeriksaan ke atas dokumen pengampunan yang bocor, yang tular di media sosial malam semalam, mendapati beberapa perbezaan utama daripada pengampunan yang diberikan kepada Najib.

Dokumen tersebut - yang dinafikan ditandatangani oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh dan disifatkan sebagai palsu - kononnya memberi Najib tahanan di rumah dengan syarat dia membayar semua denda yang tertunggak.

Ia seterusnya menyatakan bahawa kegagalan membayar denda akan mengakibatkan hukuman penjara ditambah setahun lagi.

Dokumen itu tidak menyatakan secara khusus sama ada pengampunan yang didakwa itu hanya terpakai kepada hukuman Najib yang sedia ada atau merangkumi sebarang hukuman pada masa hadapan.

Ia juga tidak menyatakan bahawa Najib akan menyelesaikan hukumannya pada 23 Ogos 2028.

Ia turut mendakwa bahawa Yang di-Pertuan Agong dinasihatkan untuk membenarkan Najib menjalani hukuman penjara, tetapi Baginda sebaliknya memutuskan untuk memberikan pengampunan kepada bekas perdana menteri itu.

Malaysiakini menanyakan Peguam Negara Dusuki Mokhtar dan Yeoh untuk mendapatkan penjelasan.

Kes SRC saja

15:20 - Peguam Negara Dusuki Mokhtar menyatakan bahawa pengampunan bersyarat yang diberikan oleh Lembaga Pengampunan hari ini hanya meliputi sabitan kesalahan Najib Razak dalam kes SRC International.

Dia mengesahkan perkara itu menerusi satu mesej WhatsApp ringkas kepada Malaysiakini apabila ditanya sama ada keputusan lembaga tersebut turut merangkumi kes 1MDB Najib yang sedang berjalan.

Najib sedang mengemukakan rayuan terhadap sabitan kesalahan oleh Mahkamah Tinggi dalam kes itu.

Fadhli Shaari tuntut Kor Ming letak jawatan

15:20 - Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari menuntut menteri DAP Nga Kor Ming meletakkan jawatan susulan pengampunan bersyarat terhadap Najib hari ini.

“Tahniah DS Najib. Sekarang masa Nga Kor Ming kotakan janji untuk letak jawatan.

“Kalau boleh bawa DAP sekali keluar kerajaan,” tulisnya di media sosial.

Dalam temu bual menjelang pilihan raya negeri Johor lalu, Nga dilapor berkata akan meletakkan jawatan jika BN menang dan Najib dibebaskan.


Dia kemudian menjelaskan, jika Najib yang mengakibatkan rakyat Malaysia menanggung hutang 1MDB sebanyak RM51.4 billion dilepaskan, bermakna kewibawaan sistem kehakiman digadai dan kedaulatan undang-undang tidak dihormati.

Justeru, kata Nga, jika berlaku, dia sedia meletakkan jawatan sebagai menteri demi mempertahankan integriti sistem kehakiman.

Sementara itu Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menyambat baik keputusan hari ini mengenangkan jasa serta khidmat Najib.

“PAS seterusnya mendoakan agar Mohd Najib terus diberikan kesihatan yang baik semasa menjalani baki hukuman terhadapnya di rumah dan yakin beliau masih boleh memberikan sumbangan idea, pandangan dan pengalamannya demi untuk kebaikan negara,” katanya.

Pengampunan Najib tak jejas ketegasan antirasuah kerajaan - PM

15:00 - Pengampunan bersyarat terhadap Najib tidak menjejaskan ketegasan kerajaan dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Katanya, semua kes rasuah, termasuk melibatkan Najib yang masih berjalan, perlu diteruskan mengikut proses dan landasan undang-undang.

"Saya selaku perdana menteri, tugas saya memberikan nasihat mengenai implikasi undang-undang, kestabilan negara, soal prinsip negara hukum, dan juga mengikut nasihat dan panduan yang ditulis lengkap dan panjang oleh Peguam Negara.

"Tetapi akhirnya, Perlembagaan menetapkan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong, dan saya harap kita terima baik (keputusan itu),” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Putrajaya hari ini.

Ketua Wanita Umno seru ahli menyumbang

1.45pm - Ketua Wanita Umno, Noraini Ahmad, menggesa ahli sayap parti itu menyumbang kepada tabung membantu Najib Razak melangsaikan denda RM50 juta agar dapat menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Katanya, sumbangan untuk meringankan beban bekas perdana menteri sekeluarga itu boleh dibuat mengikut kemampuan ahli Wanita Umno dan melalui saluran yang diumumkan parti.

Noraini menambah, Wanita Umno menyokong sepenuhnya inisiatif Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, untuk melancarkan tabung tersebut.

Beliau juga menyambut baik keputusan yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman beliau di bawah tahanan rumah serta menzahirkan rasa terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong.

Rafizi tuntut penjelasan Anwar

13:30 - Pemimpin pengasas Parti Bersama Malaysia Rafizi Ramli menuntut penjelasan Anwar dan pimpinan PH susulan pengampunan diraja terbaru terhadap Najib hari ini.

Bekas orang kanan Anwar itu berkata mereka tidak boleh mengulangi hujah sama bahawa perkara itu di luar kawalan mereka.

“Ini bukan soal politik, tetapi hutang yang Anwar dan PH ada kepada rakyat mengenai 1MDB, terutamanya individu-individu tidak bernama yang mengambil risiko besar dalam menjalankan tugas harian mereka sehingga isu 1MDB diketahui umum.

“Anwar mendapat laba besar dari isu 1MDB. Selain dari ucapan di parlimen yang ditulis oleh penulis-penulis ucapan, beliau tidak ke depan memperhalusi skandal 1MDB berbanding ramai rakyat biasa yang lain,” katanya.

Pemimpin PH mesyuarat

13:00 - Pemimpin tertinggi PH memanggil satu mesyuarat hari ini bagi membincangkan perkembangan terkini kes Najib, menurut sumber parti.

Pengerusi PH Anwar Ibrahim dijadualkan bertemu dengan pemimpin tertinggi gabungan itu—Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan Presiden Amanah Mohamad Sabu—lewat petang ini, menurut sumber.

Mesyuarat itu dipercayai berkaitan dengan pemberian tahanan rumah kepada Najib dan kedudukan DAP dalam kerajaan.

Malaysiakini faham mesyuarat tersebut akan diadakan di pejabat Anwar di Putrajaya kira-kira jam 5.30 petang.

PH menentang pemberian pengampunan tambahan kepada Najib.

Majlis presidennya mengeluarkan kenyataan sebelum mesyuarat Lembaga Pengampunan terdahulu yang menyatakan individu yang disabitkan kesalahan rasuah atau penyalahgunaan kuasa, terutamanya dalam kes berprofil tinggi, perlu menjalani hukuman penuh.

Umno kutip derma untuk Najib

12:30 - Umno melancarkan kutipan tabung sumbangan membantu meringankan beban bekas presidennya Najib Razak dalam melunaskan denda berjumlah RM50 juta yang dikenakan susulan keputusan menjalani baki hukuman tahanan rumah.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi turut merafak sembah menjunjung kasih ke hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim susulan keputusan permohonan bekas perdana menteri itu.

“Umno menjunjung tinggi kebijaksanaan dan budi bicara Tuanku serta menzahirkan setulus-tulus penghargaan atas limpah ihsan baginda. Umno menyambut dengan penuh kesyukuran

“Semoga Allah SWT. terus mengurniakan kesejahteraan kepada Tuanku serta memelihara keamanan dan keharmonian negara,” katanya dalam kenyataan.

Penjara Kajang, rumah Najib jadi tumpuan

12.30 - Tiada sebarang pergerakan membabitkan Najib dikesan di pintu masuk Penjara Kajang. Petugas media yang berkumpul di hadapan bangunan penjara itu pula hanya dibenarkan menunggu kira-kira 10 meter dari pintu pagar utama Penjara Kajang.

Sementara itu, kediaman bekas perdana menteri di Jalan Langgak Duta, ibu negara di ibu negara menjadi tumpuan lebih 50 pengamal media dalam dan luar negara sebaik sahaja berita tentang pengampunan ini tersebar.

Beberapa kenderaan polis turut kelihatan.

[Berita penuh menyusul]