Dari Nibong Tebal ke Christchurch: Rupa-rupanya wig lebih mantap bersama tudung
WAWANCARA | Dilahirkan dan membesar dalam keluarga sederhana di Nibong Tebal, Pulau Pinang, barangkali tampil mengenakan jubah dan wig (rambut palsu putih) di Mahkamah Tinggi New Zealand tidak pernah terlintas pun dalam fikiran Nur Zahirah Khairudin bertahun-tahun lalu.
Namun ditakdirkan dijaga oleh pasangan ibu bapa yang istimewa, Nur Zahirah, 25, melakar sejarah tersendiri dan membanggakan begitu ramai orang.
Bapanya, Khairudin Mohamed, 59, merupakan bekas pensyarah kejuruteraan yang kini bekerja sebagai posmen secara sambilan di New Zealand, manakala ibunya, Zarita Abdul Razak, 56, pula pernah bekerja sebagai tukang jahit di sebuah syarikat sulaman.
Zahirah berkata bapanya – yang sebelum ini berkhidmat di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang – sentiasa menekankan kepentingan pendidikan, gigih berusaha tanpa lupa merendah diri.
Sikap itulah, katanya, yang ditekankan pasangan suami isteri terbabit kepada semua tujuh anak mereka.
Katanya, mereka bermula dari bawah dan bukan kalangan orang berada.
“Memang mereka terpaksa berusaha untuk membina kehidupan mereka, dan saya rasa sebab itulah kenapa ayah saya memang terapkan dalam kami semua semangat kena rajin berusaha, kena mementingkan pendidikan, kena humble,” katanya.
Dia juga menjelaskan Khairudin kini melakukan kerja sebagai posmen sambilan bukan kerana terpaksa mencari pendapatan, sebaliknya ada sesuatu yang menarik perhatian dan sesuai dengan jiwanya selepas bersara awal dari USM.
“Sebab dia minat motor, kan,” katanya kepada Malaysiakini dalam wawancara baru-baru ini.
Mahu sentiasa ingat asal-usul
Sementara itu, Zarita yang berasal dari Kulim, Kedah masih bekerja sebagai tukang jahit di sebuah syarikat sulaman di Christchurch, Canterbury.
Menurut Zahirah, ibunya itu memang mempunyai kemahiran dalam bidang jahitan sejak dahulu lagi dan pernah menjalankan perniagaan kecil menjual pakaian yang dijahitnya ketika mereka sekeluarga masih menetap di Nibong Tebal.
“Ibu saya, dia asal Kulim, Kedah, manakala ayah saya orang Johor,” katanya lagi. Dia juga memaklumkan di Nibong Tebal itu jugalah Zarita membuka perniagaan menjual baju secara kecil-kecilan.
Kemahiran itu turut diwariskan kepada anak-anak pasangan itu, termasuk Zahirah yang beranggapan dia hanya tahu menjahit sekadar peringkat asas. Mengubah suai seluar untuk dipakai sendiri, misalnya.
Zahirah mula berhijrah ke New Zealand bersama ibu bapanya serta dua adik-beradik ketika masih kecil iaitu pada 2003. Ketika itu, hanya dia tiga beradik menjadi penyeri keluarga berkenaan. Empat lagi adiknya dilahirkan di New Zealand.
Walaupun membesar di New Zealand, keluarga itu memilih untuk mengekalkan kewarganegaraan Malaysia dan hanya memegang status pemastautin tetap di negara berkenaan.
Keputusan itu, katanya, banyak dipengaruhi pegangan bapanya yang mahu mereka sentiasa ingat di mana mereka bermula dan berasal, malah sentiasa terbuka kepada kemungkinan untuk kembali menabur bakti di Malaysia.
/file/attachments/orphans/studies12_787883.jpg)
Katanya, mereka pernah kembali ke Malaysia pada 2010 selepas bapanya menamatkan pengajian peringkat ijazah doktor falsafah dan perlu memenuhi ikatan perkhidmatan di USM.
Zahirah berkata keputusan untuk pulang turut dipengaruhi gempa bumi Canterbury yang berlaku pada tahun yang sama.
Kemudian pada tahun 2018, dia kembali ke New Zealand dan meneruskan pengajian sebelum memilih bidang undang-undang.
Bercakap mengenai dunia terkininya, Zahirah berkata, minat terhadap bidang undang-undang bukan sesuatu yang muncul secara tiba-tiba.
Ketika di sekolah menengah di Malaysia, kata Zahirah, dia aktif dalam debat bahasa Inggeris serta pelbagai aktiviti berkaitan bahasa dan komunikasi.
Pengalaman itu membuatkannya menyedari bahawa bidang undang-undang mungkin menjadi laluan yang sesuai untuk dirinya.
“Saya rasa, aktiviti berdebat tu memang macam mengembangkan lagi minat saya ke arah bidang undang-undang.
“Bagi saya, ia aktiviti yang menyeronokkan dan saya rasa macam saya memang menyerlah dalam pertandingan tu,” katanya.
Ada rasa cemas bersarang
Kemudian datanglah perasaan di dalam dirinya – mungkin ia adalah ‘seru’ untuk dia memilih bidang perundangan sebagai laluan masa depan.
Selepas menamatkan SPM di Malaysia, Zahirah menyambung pelajarannya di Hagley College, Christchurch, dengan mengambil Sijil Pencapaian Pendidikan Kebangsaan Tahap 3 (NCEA Level 3) dan mendapat anugerah kecemerlangan dalam Bahasa dan Kesusasteraan Inggeris.
Dia kemudian melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di Universiti Canterbury setahun kemudian sebelum menamatkan pengajian ijazah berkembar pada penghujung tahun lalu.
Bagaimanapun, memiliki ijazah undang-undang sahaja tidak mencukupi untuk menjadi peguam di New Zealand. Justeru dia mengikuti kursus Professional Legal Studies (Profs) di Christchurch dari Jan hingga Mei lalu sebelum melalui proses kemasukan ke profesion guaman.
Berbeza dengan pengajian undang-undang di universiti yang banyak berasaskan teori, kursus profesional itu menurut Zahirah lebih menekankan kemahiran praktikal seperti temu bual klien, rundingan, advokasi dan penampilan di mahkamah.
Beban kursus yang padat menyebabkan Zahirah perlu memberikan komitmen penuh sepanjang tempoh pengajian.
/file/attachments/orphans/nurzahirah12_869966.jpg)
Bagi Zahirah, bahagian paling mencabar ialah advokasi kerana dia perlu berhujah, memberi respons kepada peguam lain dan mempamerkan cara berkomunikasi yang betul di hadapan hakim.
Ketika calon lain sibuk memastikan rambut mereka kemas di sebalik wig peguam, Nur Zahirah pula berdepan persoalan berbeza — bagaimanakah ia harus dipakai di atas tudung?
Wanita berusia 25 tahun itu menyarungkannya sendiri sebelum meminta kepastian daripada peguam kanan yang bertindak sebagai penasihat pada hari upacara angkat sumpah.
Dia mengakui ada sedikit rasa cemas dan bimbang di hati.
“Sebab saya pakai tudung, kan, sedangkan orang lain tidak. Saya macam takutlah juga,” katanya lagi.
Minat berdasarkan pengalaman sendiri
Kerisauan itu bagaimanapun bertukar menjadi satu penemuan kecil. Zahirah mendapati hijab sebenarnya menjadikan wig berkenaan lebih mudah dan kukuh dipakai!
“Sebab yang tak pakai tudung, kena ikat rambut ke belakang dan tak boleh ada rambut yang terkeluar dari bahagian depan wig itu,” katanya.
Zahirah merupakan seorang daripada 16 calon yang mengangkat sumpah di upacara berkenaan. Setiap calon perlu mempunyai peguam pengusul yang menerangkan prosedur serta mengemukakan permohonan mereka di hadapan mahkamah.
Meskipun upacara itu berlangsung ringkas tanpa raptai penuh, detik menyarungkan jubah dan wig tersebut menjadi kemuncak perjalanan hampir tujuh tahun buat Zahirah.
“Saya rasa mula-mula macam tak percaya. Selepas beberapa hari, saya kena duduk bertenang dan bermuhasabah seketika untuk melihat sudah sejauh mana saya melangkah.
“Sejujurnya, saya sangat bangga dengan diri sendiri. Saya tak selalu mengatakannya, tetapi saya bangga dengan sejauh mana saya sudah sampai,” katanya.
/file/attachments/orphans/studies1d2ed_281238.jpg)
Selepas diterima masuk secara sah sebagai peguam, Zahirah kini bekerja sebagai peguam muda di badan penyedia perkhidmatan undang-undang dan membantu kes berkaitan komuniti, khususnya hak asasi manusia dan undang-undang koroner.
Pun begitu, untuk langkah ke depan Zahirah mahu meneroka bidang undang-undang imigresen dan keluarga yang sebahagiannya tercetus daripada pengalamannya melihat sendiri cabaran yang dihadapi warga Malaysia dan migran ketika berurusan dengan sistem undang-undang di negara asing.
“Buat masa sekarang saya dah ada kerja tetap, saya baru ditawarkan. Dan saya tengah kerja bersama Legal Aid Solicitor, maksudnya saya penyedia bantuan guaman.
“Tapi yang (bidang) imigresen dan keluarga tu memang sesuatu yang saya nak ceburi pada masa hadapan, insya-Allah,” katanya.
Bagi Zahirah, pengalaman keluarganya berhijrah ke New Zealand juga membuatkan dia lebih memahami kesukaran yang mungkin dihadapi migran ketika berurusan dengan visa dan perkara berkaitan imigresen.
/file/attachments/orphans/studies1asdesd_104186.jpg)
“Di luar negara, kalau orang kita nak cari legal representation, mereka teragak-agak nak mendekati peguam.
“Ada dua halangan berbeza, pertama sebab undang-undang; dan kedua sebab kekangan bahasa.
“Ada kawan-kawan yang datang bertanya saya soalan: ‘Bagaimana prosesnya? Macam mana nak buat? Macam mana nak apply visa ni?’
“Saya suka tolong orang buat tu sebab ia buat saya gembira,” tambah Zahirah lagi.
Di sebalik pencapaian sebagai peguam, Zahirah berkata dia tidak melihat perjalanan hidupnya sebagai sesuatu yang perlu dibandingkan dengan orang lain.
Sebaliknya, sokongan keluarga dan rakan-rakan menjadi antara faktor penting yang membantunya mengharungi tempoh pengajian yang panjang.
“Jadi dengan adanya sistem sokongan yang baik, ia sangat membantu saya untuk terus bertahan,” katanya.
Kepada anak-anak muda yang mahu mengejar pendidikan dan kerjaya, Zahirah berpesan: teruskan usaha tanpa terlalu membandingkan perjalanan sendiri dengan orang lain.
“Untuk anak muda atau sesiapa yang di luar sana, teruskan berusaha dan bertabah selalu.
“Tak kisahlah kamu belajar di Malaysia atau di negara luar, tidak ada jalan yang mudah untuk berjaya,” katanya.
/file/attachments/orphans/nurzahirah1sdd_633364.jpg)
