Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Selepas sekurang-kurangnya dua bulan gaji lewat dibayar, Kementerian Komunikasi dan Multimedia sedang mencari cara untuk memastikan kakitangan Bernama TV (BTV) mendapatkan gaji pada masanya.

 

Menterinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata kerajaan telah cuba untuk memastikan stesen yang dikendalikan secara persendirian itu, dapat bertahan.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parimen semalam, beliau berkata, pihaknya akan memikirkan penyelesaian terbaik dan berharap masalah itu dapat diselesaikan pada akhir tahun.

BTV dimiliki oleh entiti swasta, Bernama TV Synergy.

 

Agensi berita nasional, Bernama, hanya memegang 33 peratus pemilikan syarikat itu tetapi memiliki lesen penyiaran.

Bagaimanapun, disebabkan oleh kepentingan minoriti, Shabery (kiri) berkata, ia bukan tanggungjawab kerajaan untuk membayar gaji kakitangan BTV.

 

Mengulas mengenai masalah kewangan BTV, menteri itu berkata ia adalah kerana tidak ada yang menonton saluran berita 24 jam itu.

 

Menurutnya, apabila ratingnya rendah, maka tidak ada iklan.

Beliau berkata ia bukan satu masalah pemasaran, tetapi kecacatan konsep stesen tersebut menyiarkan berita dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil.

 

Oleh itu, katanya, BTV akan bertukar kepada saluran berita bahasa Inggeris sahaja bagi mensasarkan penonton berpendapatan sederhana dan penonton bandar, pada awal tahun depan.

 

Shabery berkata peralihan ke Bahasa Inggeris itu bagi mengelakkan pertindihan kerana RTM sudahpun menyiarkan berita dalam Bahasa Malaysia.

 

Ketika dihubungi, Pengurus Besar Bernama Yong Soo Heong berkata ini akan membantu menyelamatkan stesen BTV.

 

Selain memberi BTV jangkauan yang lebih baik terhadap penonton berbahasa Inggeris di Malaysia dan di luar negara, katanya, langkah itu juga akan membolehkan stesen itu memberi tumpuan yang lebih baik untuk mendapatkan iklan.

 

Bercakap kepada Malaysiakini, Yong berkata "apa sahaja usaha yang anda lakukan, anda perlukan keuntungan."

Sementara itu, saluran berita BTV Mandarin dan Tamil akan mendapatkan saluran mereka sendiri apabila ia menjadi digital menjelang 2018.

 

Dalam pada itu, Shabery memberi jaminan bahawa tidak ada kakitangan stesen itu yang akan diberhentikan.

 

Sebaliknya, buat masa  ini, mereka perlu menyesuaikan diri untuk bekerja dalam medium bahasa Inggeris sahaja.

 

[Baca berita penuh/asal]

Lihat Komen
ADS