Saman RM1.9 juta: Najib dibenar keluar penjara ikuti prosiding lawan Tommy Thomas
Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan permohonan Najib Razak untuk menghadiri prosiding pendengaran permohonan kebenaran merayu bagi menghidupkan semula saman RM1.9 juta yang difailkan terhadap bekas Peguam Negara Tommy Thomas.
Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Besar Malaya Hashim Hamzah membenarkan permohonan itu selepas peguam S Bala Ravi, mewakili Najib memaklumkan pihaknya memohon untuk mengeluarkan perintah mengemukakan (OTP) Najib dari penjara bagi menghadiri pendengaran permohonan kebenaran merayu serta pendengaran substantif rayuan sekiranya kebenaran diberikan.
Turut bersidang pada prosiding hari ini ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Azmi Ariffin.
Permohonan kebenaran merayu akan didengar pada 26 Nov ini.
Najib, 73, memfailkan notis usul pada 10 Feb tahun ini bagi memohon kebenaran merayu terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Rayuan mengekalkan perintah Mahkamah Tinggi yang menolak saman tersebut dan bekas perdana menteri itu mengemukakan tiga persoalan undang-undang untuk pertimbangan Mahkamah Persekutuan.
Pada 13 Jan tahun ini, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi untuk membatalkan saman itu dengan memutuskan bahawa saman berkenaan pramatang kerana kes jenayah tersebut masih belum bermula ketika saman difailkan.
Pada 25 Nov 2022, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Thomas untuk membatalkan saman Najib tanpa perbicaraan penuh.
Bekas anggota parlimen Pekan itu memfailkan saman tersebut pada 22 Okt 2021 yang mendakwa Thomas menyalahgunakan kuasanya apabila mendakwa beliau berhubung kes 1MDB.
Menerusi saman itu, Najib mendakwa Thomas bertindak secara berniat jahat apabila memfailkan pertuduhan terhadap beliau berkaitan kes 1MDB dan IPIC.
Pertuduhan itu termasuk salah guna kuasa di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan beberapa pertuduhan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Antara lain, Najib memohon deklarasi mahkamah bahawa Thomas melakukan salah laku dalam jawatan awam dan menuntut ganti rugi khas RM1.9 juta merangkumi kos yang ditanggung bagi melantik pasukan audit untuk menyemak dokumen serta menyediakan pembelaan bagi prosiding jenayah.
Thomas berkhidmat sebagai Peguam Negara dari 4 Jun 2018 hingga 28 Feb 2020.
- Bernama
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/01/19a6a262d866118ced270930edbe9396.jpg)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.