Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Gabungan persatuan artis dan pekerja industri kreatif terkenal hari ini menyeru semua penonton memboikot dengan menutup TV selama tiga jam mulai 8 malam pada 11 November depan.

Kempen yang dinamakan Switch Off '14 Rancangan Tergendala itu dilancarkan 11 gabungan persatuan itu sebagai tanda protes ke atas dakwaan "penindasan" terhadap pekerja industri kreatif tanah air.

Mereka menggesa kerajaan agar campur tangan dalam isu kadar harga yang dibayar oleh stesen televisyen tempatan untuk isi kandungan program TV.

Antara persatuan yang menyokong kempen itu Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM), Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), dan Persatuan Penyanyi-penyanyi Tanah Air (Papita).

Pengerusi gabungan itu, Presiden Gafim Jurey Latiff Rosli berkata satu pertemuan sedang diatur dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia bagi menyampaikan "permintaan-permintaan" tersebut.

"Saya sangat positif, satu perkara baik akan berlaku pada 11 November ini," kata Jurey kepada wartawan selepas sidang media pagi ini.

"Kita ingin promosikan kepada orang ramai supaya menjimatkan elektrik dengan menutup TV pada jam 8 hingga 11 malam.

"Kita cadangkan supaya pada hari tersebut kita habiskan masa dengan keluarga kita," kata pelakon Gibran Agi yang turut menyertai sidang media sebelumnya.

Pelakon berlulusan undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu membuat kenyataan sinis itu sebagai pengarah strategi Switch Off '14.

 

Selain isu bayaran, Switch Off '14 juga meminta kerajaan mewujudkan Akta Industri Kandungan Kreatif, menekankan hak harta intelek yang lebih munasabah, mengagihkan slot TV dengan lebih adil dengan penekanan kepada 70 peratus kandungan tempatan serta penguatkuasaan polisi buatan Malaysia dan Paducitra.

Paducitra ialah satu ketetapan bawah Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 yang mewajibkan pelakon, pekerja dan pengarah filem menyertai persatuan yang diiktiraf Finas bagi melindungi hak dan keistimewaan pekerja industri perfileman.

Persatuan itu ialah Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) yang mewakili pelakon, Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) yang mewakili pengarah dan Persatuan Pekerja Filem Malaysia (PPFM).

Gabungan itu juga mahu satu badan pengawal selia industri TV ditubuhkan kerajaan, dan pembuatan dasar berkaitan industri itu dilakukan dengan penglibatan wakil industri.

Mereka turut menyeru TV tempatan agar menyediakan slot untuk lebih banyak isi kandungan berbentuk patriotik, pengecualian cukai bagi syarikat korporat yang menaja penerbitan program TV tempatan, skim insurans dan dana serta geran untuk memajukan industri isi kandungan TV tempatan.

Turut hadir pada sidang media itu beberapa pelakon terkemuka tanah air antaranya Zed Zaidi, Fauziah Nawi, Norish Karman, Shahrul Nizam Noor, Norlia Ghani, Normah Damanhuri, Harun Salim Bachik, dan pengarah filem Yusof Kelana.

Lihat Komen
ADS