Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Para penyokong Syed Azmi Alhabshi memenuhi laman Facebook penganjur acara kontroversi 'Saya Mahu Sentuh Anjing' itu dengan kata-kata semangat bagi menghadapi kritikan demi kritikan yang dihadapi oleh pemuda itu.

Kata-kata sokongan itu dikesan sejak awal pagi 19 Oktober pada hari acara tersebut berlangsung dan dikesan masih membanjiri laman Facebook Syed Azmi sehingga lewat malam tadi, ketika berita ini ditulis.

Salah seorang daripada penyokongnya, Normaliza Mahadi, malah mencabar para pengkritik Syed Azmi untuk turut mengadakan kempen kesedaran dan kebajikan

 

“Buatlah, kumpulkan penyokong anda,” katanya yang menambah, para pengkritik itu harus menujukkan usaha sendiri dan tidak hanya bercakap.

Syed Azmi sebelum ini dikenali dengan penglibatannya dalam pelbagai kempen untuk membantu golongan memerlukan.

Aktiviti itu termasuk kempen mengedar naskhah al-Quran cetakan braille untuk golongan buta dan tidak mampu, kempen memberi tempat duduk kepada wanita hamil, kutipan derma untuk mangsa bencana dan program untuk memberi bantuan kepada golongan miskin.

Para penyokongnya turut memuatkan album gambar menunjukkan penglibatan Syed Azmi dalam pelbagai projek, termasuk mendidik golongan tidak berumah untuk bersolat, mengunjungi rumah jagaan orang tua dan memberi makan kepada golongan miskin.

Ahli farmasi itu turut mempromosi sebahagian dari kegiatan amalnya di Twitter dengan topik perbincangan “#tamakpahala” dan turut memuatkan nombor telefonnya untuk menjawab pertanyaan.

Niatnya yang murni itu bagaimanapun memakan diri apabila nombor telefon berkenaan dikesan digunakan oleh pihak tertentu untuk menyebar gangguan dan ugutan ke atasnya.

Malah, nama dan nombor telefon berkenaan disiarkan dalam satu sebaran kempen palsu, kononnya dengan nama “Saya Mahu Sentuh Buah Dada”.

[Baca berita penuh/asal]

Lihat Komen
ADS