Kemelut takhta N Sembilan: Apa seterusnya?
Kemelut takhta diraja Negeri Sembilan terus mencuri perhatian, dengan semua pihak kini tertunggu-tunggu perkembangan terbaru dalam krisis yang dilihat masih belum mencapai titik penamat.
Semalam Perdana Menteri Anwar Ibrahim diterima menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, selama hampir sejam di istana Negeri Sembilan di Changkat Persekutuan, Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan berhubung pertemuan itu, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai perkara yang dibincangkan antara perdana menteri dan tuanku.
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Negeri Sembilan Ismail Lasim juga sepatutnya dijadual menghadap Tuanku Muhriz.
Namun, setakat ini, tiada laporan mengesahkan sama ada sesi menghadap berkenaan telah berlangsung.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/01/70539ce95817066c5fe82da0ba2c5f5c.png)
Pada masa yang sama, perhatian turut tertumpu kepada Majlis Raja-Raja, khususnya mengenai kemungkinan badan itu mengambil sebarang tindakan atau campur tangan bagi menyelesaikan kemelut yang semakin berlarutan.
Kerajaan Negeri Sembilan sebelum ini mengesahkan proklamasi yang ditandatangani oleh Undang Yang Empat bagi menurunkan Tuanku Muhriz dan menabalkan Tuanku Nadzaruddin Tuanku Jaafar sebagai Yang di-Pertuan Besar yang baru.
Bagaimanapun, usaha itu terhalang apabila Setiausaha Kerajaan Negeri enggan mewartakan pelantikan Tuanku Nadzaruddin.
Dalam tindakan berasingan, Tuanku Muhriz menitahkan supaya semua anggota Exco kerajaan negeri, kecuali Menteri Besar, dipecat.
Kedua-dua pihak kekal dengan pendirian masing-masing tanpa menunjukkan kesediaan untuk mengalah, menyebabkan krisis ini terus berlarutan dan menemui jalan buntu.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/04/a3fe5a7c8047a9d7cc5431a58d4dc89a.jpg)
