Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim, hari ini mengumumkan penggantungan tugas serta-merta dua pegawai kanan ketika kemelut yang melanda negeri itu terus berpanjangan.

Dalam kenyataannya, Ismail berkata keputusan tersebut dibuat sebulat suara dalam mesyuarat khas exco hari ini.

Dua pegawai kanan yang digantung tugas itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Mohd Zafir Ibrahim; dan penasihat undang-undang, Muzalmah Mustapha Kamal.

"Notis penggantungan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan akan dimaklumkan kepada Ketua Setiausaha Negara dan Jabatan Perkhidmatan Awam.

"Seterusnya, notis penggantungan penasihat undang-undang negeri pula akan dimaklumkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC)," katanya.

Sebagai ganti, Ismail mengumumkan pegawai kewangan negeri, Masri Razali, dilantik sebagai pegawai untuk menjalankan tugas setiausaha kerajaan negeri sehingga ada individu lain dinamakan oleh Ketua Setiausaha Negara diterima.

Sementara itu tugas memberikan nasihat perundangan akan dilaksanakan oleh seorang peguam, Fahmi Adilah, dan dia akan melaksanakan tugas berkenaan sehingga penggantinya dinamakan oleh AGC.

"Pada masa yang sama, semua jawatan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri adalah masih kekal dan sah.

"Pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan akan terus berjalan seperti biasa dan amanah kepada rakyat akan terus dilaksanakan dengan sebaik-baiknya," tambahnya.

Pada 18 Sept lalu usaha kerajaan negeri untuk mewartakan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baru tidak kesampaian selepas Mohd Zafir menyatakan pihaknya berpegang kepada pandangan AGC bahawa perisytiharan dibuat sebelum itu sebagai tidak sah.

Mohd Zafir juga berkata pejabatnya turut merujuk perkara berkenaan kepada Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan bagi memastikan sebarang tindakan yang diambil mematuhi undang-undang semasa dan perlembagaan negeri.

Dia juga menambah, tiada asas undang-undang bagi anggota exco untuk bergantung pada proklamasi – yang dipertikaikan sebelum ini – bagi tujuan pengumuman mereka.

Dari segi perundangan, kata Mohd Zafir lagi, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan akur dengan pandangan AGC bahawa ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri tidak mempunyai bidang kuasa, autoriti mahupun kuasa di bawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 untuk membuat pengumuman berkenaan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.