Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Siswa UM teruskan pidato Anwar walau dilarang
Diterbitkan:  Oct 24, 2014 1:51 PM
Dikemaskini: 8:19 AM

Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) akan meneruskan program pidato Datuk Seri Anwar Ibrahim di kampus itu Isnin depan walaupun dilarang pengurusan kampus.

Larangan itu dikeluarkan oleh Timbalan Naib Canselor UM, Profesor Datuk Dr Rohana Yusof seperti yang dilapor akhbar Berita Harian hari ini.

"Kita akan teruskan," kata Presiden PMUM, Fahmi Zainol kepada Malaysiakini mengulas larangan itu.

Laporan Berita Harian menyebut, Rohana mendakwa PMUM merupakan pertubuhan haram kerana tidak pernah berdaftar dengan universiti.

PMUM juga tidak pernah memohon kepada pengurusan kampus untuk mengadakan program itu, kata Rohana yang turut memberi amaran untuk mengenakan tindakan ke atas Fahmi.

Katanya, siswa berkenaan boleh digantung pengajian selama dua semester atau dikenakan denda sebanyak RM200 sekiranya tetap berdegil.

"Mahasiswa yang menyertai program berkenaan juga berdepan dengan tindakan tatatertib," katanya seperti dipetik dalam laporan Berita Harian .

Siswa berkenaan bagaimanapun enggan tunduk dengan amaran seperti itu dan mempersoalkan kembali niat sebenar di sebalik tindakan berkenaan.

Menurutnya lagi, kesungguhan Rohana untuk mendenda beliau menunjukkan pengurusan universiti itu lebih berminat untuk mengaut wang dari mahasiswa.

Katanya lagi, pengurusan UM yang menurutnya tidak pernah pun "membuat permohonan" kepada siswa UM jika mahu menaikkan yuran pengajian.

"UM hendak sangat duit mahasiswa... Saya bukan budak sekolah lagi Datuk (Rohana)," kata Fahmi lagi.

Sementara itu, sayap pemuda PKR, AMK menyifatkan larangan oleh pengurusan universiti itu sebagai tindakan yang memperkecilkan kebolehan mahasiswa untuk berfikir.

Naib ketuanya, Fahmi Fadzil turut menyifatkan langkah tersebut sebagai tindakan kolota yang akan menjejaskan nama baik universiti tersebut.

"Tindakan UM ini bersifat autokratik, antidemokratik, dan memperlekeh kebolehan serta keupayaan mahasiswa untuk berfikir dan menyatakan pendapat mengenai perkembangan senario sosiopolitik tanah air terkini.

"Ia adalah satu langkah ke belakang buat menara gading tertua di Malaysia.

"Ia berusaha mengongkong mahasiswa di bawah tempurung politik kolot, dan pasti akan mencemar nama baik UM di mata institusi pengajian tinggi yang lain di dunia," katanya dalam satu kenyatan.

PMUM sebelum ini mengumumkan program bersama Anwar itu akan berlangsung di Dataran Dewan Tuanku Canselor UM, sehari sebelum rayuan terakhir kes Liwat II didengar di Mahkamah Persekutuan.

Lihat Komen
ADS