Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
AS sedia bantu M'sia bangun loji nuklear
Diterbitkan:  Oct 25, 2014 2:48 PM
Dikemaskini: 6:55 AM

Amerika sedia memberi bantuan sekiranya Malaysia ingin meneruskan rancangannya membina loji tenaga nuklear, kata diplomat Amerika, Duta Besar Laura E Kennedy.

Kennedy berkata negaranya sudah lama mempunyai industri tenaga nuklear dan kepakaran dalam bidang itu.

"Terserahlah kepada kerajaan Malaysia. Bagaimanapun, kami sedia berunding tentang perjanjian kerjasama seperti yang kami lakukan di negara lain yang membenarkan pihak awam menjalankan perniagaan bahan berkaitan nuklear," kata Kennedy, yang sedang melakukan lawatan kerja dua hari ke Malaysia, kepada media di Kuala Lumpur.

Pada Julai, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mah Siew Keong berkata kerajaan akan menjalankan kajian kemungkinan mengenai cadangan pembinaan sebuah loji nuklear di negara ini.

Sebelum itu, terdapat laporan bahawa kerajaan merancang membina dua loji tenaga nuklear bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap tenaga, satu menjelang 2021 dan satu lagi setahun kemudian.

Kennedy bagaimanapun berkata sebelum sebarang keputusan diambil tentang perkara itu, Malaysia perlu berbincang dengan badan kawal selia nuklear seperti Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengenai kepatuhan terhadap standard keselamatan antarabangsa.

Kennedy, yang berada di negara ini untuk mempromosi penggunaan tenaga nuklear bagi tujuan aman, berkata rakyat Malaysia perlu sedar bahawa teknologi nuklear memberi banyak manfaat dalam bidang seperti kesihatan dan pertanian.

Bekas penghidap kanser ini juga menyentuh tentang penggunaan teknologi nuklear dalam rawatan kanser dan bagaimana teknologi berkaitan nuklear kini digunakan untuk membantu memerangi wabak Ebola.

- Bernama

Lihat Komen
ADS