Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hadi akui kesihatan kurang baik, badan susut
Diterbitkan:  Nov 11, 2014 11:26 AM
Dikemaskini: 6:04 AM

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelaskan bahawa ketiadaannya dari pentas utama politik negara sejak September lalu dengan berpunca daripada tahap kesihatannya yang kurang baik.

Penjelasannya, seperti dilaporkan Harakahdaily, menjawab tanda tanya yang timbul apabila beliau dilaporkan tidak hadir ke beberapa mesyuarat pimpinan utama Pakatan Rakyat sebelum ini.

Hadi berkata, tahap kesihatan beliau kurang baik sejak akhir-akhir ini malah tubuh badan beliau dilapor sedikit susut berbanding sebelum ini.

"Rasa tak berapa sihat sikit sejak akhir-akhir ini. Suara pun tak berapa nak keluar," katanya seperti dilaporkan dalam Harakahdaily semalam.

Laporan itu juga menyebut, MP Marang itu muncul untuk membahaskan Bajet 2015 di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat.

Ketika berbahas, suara beliau dilapor sering tersekat-sekat dan presiden PAS itu hanya berbahas tidak lebih dari 10 minit, lapor lidah parti tersebut.

Menurut laporan itu lagi, presiden parti itu tidak begitu kerap memenuhi jemputan ceramah parti pada waktu malam.

"Malam ini pun tak ada program, saya perlu berehat," katanya dipetik.

Hujung Mei lalu, Hadi dikejarkan ke sebuah hospital di Istanbul, Turki kerana dilapor sesak nafas dan masalah kesihatan.

Beliau menerima rawatan di unit rawatan rapi di Medipol Universitesi Hastanesi, Istanbul.

Malah, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengarahkan kedutaan Malaysia di negara itu memberi bantuan sewajarnya kepada Hadi.

 

Sekembalinya daripada Turki selepas itu, Hadi menjalani pemeriksaan perubatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN).  

Ramai pemimpin dalam PAS menziarahi beliau sama ada di Turki ataupun di Malaysia termasuk Najib yang melawatnya di IJN.

Tanda tanya mengenai keadaan Hadi itu mula berlegar apabila beliau tidak hadir sewaktu perbentangan Bajet 2015 bulan lalu.

Beliau tidak hadir ke beberapa mesyuarat Pakatan Rakyat, apabila kemelut politik Selangor memuncak sejak Ogos.

Ketiadaan Hadi di mesyuarat Pakatan merimaskan kalangan pemimpin PAS yang kecewa kerana beberapa isu utama di kalangan gabungan parti berkenaan tidak dapat diputuskan.

Perkara itu dikesan melalui ucapan para perwakilan di muktamar PAS di Batu Pahat, Johor.

Perkara tersebut turut mendapat perhatian setiausaha agung DAP Lim Guan Eng yang turut menyuarakan teguran demi memperkukuh Pakatan.

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pula cuba meredakan ketegangan dengan menyifatkan ketidakhadiran Hadi dalam mesyuarat pimpinan Pakatan Rakyat bukan satu masalah.

Katanya, Pakatan akan memberi beliau notis dan memilih tarikh yang sesuai untuk presiden PAS hadir ke mesyuarat pada masa akan datang.

Lihat Komen
ADS