Ku Li diminta berterus terang jawatan yang mahu ditandinginya
Tawaran Tengku Razaleigh Hamzah untuk dicalonkan bertanding jawatan tinggi parti telah menimbulkan kegusaran dan persoalan di kalangan ahli dan pemimpin Umno mengenai jawatan manakah yang dimaksudkan oleh bekas naib presiden Umno itu.
Tawaran Tengku Razaleigh Hamzah untuk dicalonkan bertanding jawatan tinggi parti telah menimbulkan kegusaran dan persoalan di kalangan ahli dan pemimpin Umno mengenai jawatan manakah yang dimaksudkan oleh bekas naib presiden Umno itu.
Ketika bercakap dalam sidang media di kediamannya di Kota Bharu semalam, Tengku Razaleigh yang lebih mesra dengan panggilan Ku Li, tidak menyatakan secara khusus jawatan tinggi yang mahu ditandinginya.
Sebaliknya, Ku Li berkata beliau menyerahkan kepada bahagian-bahagian Umno untuk mencalonkan jawatan manakah yang mereka rasakan sesuai untuk ditandinginya.
Ini adalah kali kedua Ku Li mengulangi hasrat itu selepas laporan pertama oleh sebuah akhbar tempatan kira-kira sebulan lalu tidak mendapat sebarang reaksi dari kalangan akar umbi dan juga kepimpinan Umno.
"Sudah tentu tindakan Ku Li ini menimbulkan kegusaran dan persoalannya....ini kerana sebelum inipun telah banyak diperkatakan mengenai kemungkinan Ku Li bertanding jawatan presiden...," kata seorang pemimpin veteran Umno yang tidak mahu namanya disebut.
Oleh itu, beliau mencadangkan supaya Ku Li menyatakan secara khususnya jawatan yang mahu ditandinginya dalam pemilihan parti September depan.
Pencalonan
Dalam pemilihan tahun 2000, Ku Li mendapat 16 pencalonan bagi jawatan naib presiden, iaitu kurang satu pencalonan untuk melayakkannya bertanding jawatan tersebut. Setiap calon perlu mendapatkan 10 peratus atau 17 pencalonan bagi jawatan tersebut.
Beliau turut memperolehi pencalonan daripada bahagian Tanah Merah Kelantan untuk bertanding jawatan timbalan presiden. Ketika itu, naib presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjalankan tugas-tugas timbalan presiden selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari kerajaan dan Umno.
Sementara itu, seorang lagi pemimpin Umno bahagian berpendapat kenyataan Ku Li yang begitu umum, boleh menimbulkan 'masalah' bukan sahaja kepada dirinya sendiri tetapi juga kepada ahli-ahli parti.
Sebelum ini, Majlis Tertinggi Umno dalam mesyuaratnya menyarankan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak ditandingi dalam pemilihan parti September depan. Abdullah kini memangku jawatan presiden manakala naib presiden, Datuk Seri Najib Razak menjalankan tugas-tugas timbalan presiden.
Bagaimanapun, pencalonan boleh dibuat untuk pertandingan jawatan naib presiden dan ahli Majlis Tertinggi Umno.
"Kalau hendak dikira senioriti, tak kanlah Ku Li hendak dicalonkan untuk jawatan naib presiden...tentulah jawatan yang lebih tinggi seperti timbalan presiden ataupun presiden. Tetapi saya rasa sukar untuk beliau mendapatkan pencalonan yang mencukupi bertanding salah satu jawatan tertinggi tersebut," tambahnya.
Pertahan jawatan
Ini kerana, bagi bertanding jawatan presiden, seorang calon itu perlu mendapat sekurang-kurang 30 peratus atau kira-kira 60 pencalonan daripada sejumlah 199 bahagian Umno, manakala bagi jawatan timbalan memerlukan 15 peratus atau 30 pencalonan.
"Tapi kalau untuk jawatan naib presiden yang memerlukan 10 peratus, saya rasa Ku Li tidak akan menghadapi masalah memperolehi 20 pencalonan yang diperlukannya...malah kemungkinan besar beliau boleh memenangi jawatan tersebut," tambahnya.
Menurutnya, jika Ku Li menerima pencalonan tersebut, ia bermakna, selain beliau, terdapat dua lagi calon dari Kelantan yang mahu bertanding jawatan tersebut, iaitu pengerusi Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed dan timbalannya, Datuk Zahid Ibrahim.
Manakala penyandang sekarang ialah Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Tan Sri Muhamad Muhd Taib. Calon-calon lain yang telah menyatakan kesediaan dicalonkan untuk jawatan naib presiden ialah Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar, Ketua Menteri Melaka Datuk Mohd Ali Rustam dan ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Shahrir Samad.
Ku Li pernah bertanding jawatan presiden Umno menentang Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1987 dan tewas dengan majoriti 43 undi.
Berikutan itu, Umno diharamkan dan Ku Li menubuhkan parti serpihan Umno, Semangat 46 (S46). Bagaimanapun, parti itu kemudiannya dibubarkan dan semua ahli S46 kembali semula kepada Umno.
Report this comment


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.