Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ADUN DAP Ng Suee Lim berkata, DAP akan tetap meminta jawatan timbalan speaker kedua daripada Menteri Besar Mohamed Azmin Ali.

Ini kerana, beliau berkata, Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat sebelum ini pernah menjanjikan jawatan itu kepada DAP.

Bagaimanapun, katanya, beliau menyerahkan perkara itu kepada Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua untuk membincangkan perkara itu dengan lebih lanjut bersama Azmin.

"Ya (Majlis Pimpinan Pakatan janji jawatan timbalan speaker). Bagi dia (Tony) bincang dululah.

“Kita tengok macam mana. Kita akan bincang dalam keadaan yang baik," katanya ketika ditemui pemberita di lobi bangunan Annex, Shah Alam.

"Semasa tamatnya kemelut menteri besar, Majlis Pimpinan Pakatan telah bersetuju untuk melantik satu lagi timbalan speaker.

Ng berkata, untuk melantik timbalan speaker baru hanya memerlukan pindaan dalam enakmen sahaja selepas persetujuan dicapai di kalangan komponen Pakatan.

'PKR dapat MB, tambah exco'

Beliau menegaskan, sejak kemelut menteri besar Selangor yang lalu, DAP tetap dengan pendirian untuk bersama dengan Pakatan.

“Kita tidak berganjak pendirian kita. Tetap istiqamah walaupun kita diserang pelbagai pihak.

"Persoalan sekarang ialah kenapa PKR boleh dapat menteri besar, tambah exco. Itu persoalan yang timbul," katanya lagi.

Ditanya bilakah pertemuan bersama Azmin akan dibuat bagi membincangkan perkara itu, Ng berkata ia akan dibuat dalam masa terdekat.

"Selepas ini, mungkin selepas sidang DUN," katanya lagi.

Semalam, Tony berkata, DAP tetap akan melobi agar satu lagi jawatan timbalan speaker diwujudkan selepas ia dimenangi PAS melalui undi rahsia yang dijalankan di DUN sebelum ini.

Tony menyatakan hasrat parti itu dalam konvensyen DAP Selangor semalam.

Lihat Komen
ADS