Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Exco S'gor: Perak amal 'fikiran politik sempit'
Diterbitkan:  Jan 2, 2015 11:45 AM
Dikemaskini: 3:57 AM

Seorang anggota exco Selangor kesal kerana kerajaan Perak mengamalkan “fikiran politik sempit” sehingga enggan menerima sumbangan kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor berjumlah RM100,000 untuk mangsa banjir.

Laporan media rasmi kerajaan negeri menyebut exco hal ehwal kebajikan Selangor, Dr Daroyah Alwi berkata ia menyebabkan peruntukan tidak dapat disalurkan secara terus kepada mangsa banjir di Perak.

“Seperti di Terengganu, kita dimaklumkan wang berkenaan akan diuruskan badan bukan kerajaan (NGO), yang mana itu adalah cara matang dan betul.

“Malangnya, Perak tidak sudi menerima, mungkin jumlahnya kecil tetapi jumlah bukan persoalannya kerana kita mahu tunjukkan kebersamaan rakyat Selangor dengan mangsa banjir,” katanya seperti dipetik dalam laporan portal bm.selangorku.com.

Bagaimanapun, kerajaan negeri akan tetap menyalurkan bantuan melalui badan Pasukan Tindakan Segera Negeri Selangor (PANTAS).

Katanya, walau tidak dapat menyalurkan bantuan dalam bentuk itu, kerajaan negeri akan tetap menghantar Pasukan Tindakan Segera (PANTAS) untuk membantu di kawasan yang terjejas teruk seperti di Kuala Kangsar.

“Buat masa ini, kita masih belum ada keputusan bagaimana sumbangan itu boleh disalurkan kepada mangsa banjir Perak. Mungkin kita akan salurkan kepada NGO, tetapi segalanya akan diputuskan pejabat datuk menteri besar,” katanya lagi.

Selain di Perak dan Terengganu, kerajaan Selangor dilaporkan turut menyalurkan RM1 juta kepada negeri Kelantan dan RM100,000 untuk negeri Pahang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS