Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKR: Pentingkan rambut Rosmah, bukan ubatan?
Diterbitkan:  Feb 25, 2015 12:00 PM
Dikemaskini: 6:28 AM

Ahli parlimen Lembah Pantai mempersoalkan tindakan pantas kerajaan dalam menangani rungutan mengenai harga dandanan rambut di rumah yang dibuat isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Nurul Izzah Anwar berkata kerajaan pada masa sama masih belum bertindak terhadap gesaan untuk menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) ke atas buku dan ubat-ubatan.

Naib presiden PKR itu merujuk kenyataan timbalan menteri kewangan yang berikrar untuk meneliti rungutan Rosmah mengenai kemungkinan harga khidmat mendandan rambutnya, berharga RM1,200, akan melonjak dengan pelaksanaan GST.

"Sikap Datuk Ahmad Maslan yang lebih mementingkan aduan dari isteri-isteri menteri, melihatkan betapa kerajaan BN tidak meletakkan kepentingan rakyat sebagai paling utama," kata Nurul dalam kenyataan hari ini.

Menurut Nurul lagi, kumpulan farmaseutikal sejak beberapa bulan lalu menzahirkan kerisauan mereka tentang pelaksanaan GST yang akan meningkatkan harga ubat-ubatan.

 

Penerbit-penerbit buku juga turut menzahirkan kerisauan yang sama.

 

Sehingga kini hanya buku teks, buku latihan, buku mewarna kanak-kanak, kamus dan bahan bacaan keagamaan dikecualikan GST.

 

"47 negara daripada 51 negara menyenaraikan buku-buku sebagai barangan berkadar sifar, ataupun memberi kadar istimewa untuk buku-buku, mengapa tidak Malaysia?" tanya Nurul.

 

Rosmah pada satu majlis penerangan GST anjuran Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (BAKTI), berkongsi pengalamannya berdepan kos mahal perkhidmatan penjagaan diri rumah ke rumah.

 

“Sekarang ini bila saya nak cat rambut dekat rumah dia (pendandan) sudah caj RM1,200. Amboi mahalnya!

 

“Kalau di kedai dia kata harganya berbeza. Dia (pendandan) kata mahal sebab home service ,” kata Rosmah.

 

Ahmad Maslan yang turut hadir pada majlis yang sama kemudian memberi jaminan perkara itu akan dibawa kepada perhatian Putrajaya.

Lihat Komen
ADS