Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seramai kira-kira 160 ketua-ketua Umno bahagian berpuas hati  dengan penjelasan yang diberikan presidennya, Datuk Seri Najib Razak berhubung isu-isu kontroversi termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Malah, tiada juga pihak yang melahirkan perasaan tidak berpuas hati terhadap Najib dan isu-isu melibatkan parti semasa pertemuan selama lebih sejam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Sehubungan itu, menurut Pengerusi Penyelaras Solidariti Ketua-ketua Umno bersama presiden, Datuk Seri Ismail Sabri, selepas pertemuan itu pihaknya memberi seluruh sokongan  dan komitmen kepada Najib sebagai presiden parti dan perdana menteri.

"Semua ketua bahagian berpuas hati dengan penjelasan oleh presiden.

"Ini perjumpaan biasa kerana kita juga nak dapatkan maklum balas isu semasa. Dan selain daripada itu kita semua ketua bahagian nyatakan sokongan tak berbelah bahagi pada presiden parti kerana akhir-akhir ini presiden di hina dan difitnah.

"Jadi, tanggungjawab ketua bahagian untuk bersama presiden dalam menghadapi tekanan dan penghinaan fitnah pada hari ini.

"Jadi antara isu-isu yang dijelaskan presiden tadi termasuk isu 1MDB," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pertemuan bersama Najib petang ini.

Tanggungjawab bahagian pula

Selain itu, ketua Umno bahagian Bera itu berkata, dengan penjelasan Najib bahawa tiada unsur penyelewengan dalam isu 1MDB, ia menjadi tanggungjawab kepada pemimpin bahagian untuk memberi penerangan kepada akar umbi.

"Tiada apa-apa yang cuba dilindungi oleh perdana menteri dan kerajaan.

"Bulan Mac bermula mesyuarat agung cawangan.

“Kita juga menerima mesej daripada presiden untuk kita, ketua bahagian membawa (isu-isu yang dibincangkan) ke akar umbi sewaktu mesyuarat agung cawangan," kata Ismail.

Kesemua ketua-ketua Umno bahagian yang hadir pertemuan tertutup itu memakai baju kemeja parti berwarna merah.

Antara ketua Umno bahagian yang hadir ialah Datuk Seri Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Bung Mokhtar Radin.

Sebelum pertemuan pada jam 5 petang itu bermula, puluhan wartawan telah mula menanti kehadiran Najib seawal jam 2.30 petang di pintu masuk Menara Dato' Onn di PWTC

Para jurugambar pada awalnya juga tidak dibenarkan mengambil gambar memandangkan ia merupakan majlis tertutup dan hanya boleh melakukan tugasan selepas pertemuan itu selesai.

Kelibat Najib menghadiri pertemuan itu juga tidak kelihatan oleh petugas media kerana beliau tidak melalui laluan di pintu masuk utama.

Lihat Komen
ADS