Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kenyataan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob menggesa Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikekalkan di jawatannya didakwa hanya “memudaratkan” presiden PAS itu sendiri.

Anggota jawatankuasa pusat PAS Khalid Samad berkata kenyataan Ahmad itu menunjukkan seolah-olah Hadi tidak mendapat sokongan daripada ahli PAS.

“(Ahmad) tak patut keluarkan kenyataan sebegitu, ia akan memudaratkan presiden lebih dari mempercayai beliau (Hadi).

“Niat untuk menunjukkan sokongan tetapi kenyataan seperti itu menunjukkan kesan negatif,”katanya di Shah Alam.

Ahmad semalam dilapor mahu Hadi dikekal sebagai presiden PAS kerana mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik menghadapi pelbagai situasi.

Setakat ini belum ada sesiapa tampil secara terbuka menyatakan hasrat mencabar Hadi pada Muktamar Tahunan PAS ke-61 Jun ini.

Bagaimanapun PAS kawasan setakat ini telah menamakan dua naib presidennya iaitu Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Husam Musa  sebagai calon pemimpin nombor satu PAS.

Ditemui pemberita, Khalid hari ini menegaskan bahawa anggota PAS sendiri akan membuat keputusan siapa yang mereka mahukan sebagai presiden.

Isu kesihatan

Khalid juga ditanya berhubung masalah kesihatan akan menjadi halangan kepada seseorang calon merebut atau mempertahankan jawatan.

“Bukan prasyarat untuk menjadi pemimpin harus sihat 100 peratus. Ia bukan isu selagi (pemimpin) masih boleh menerajui.

“(Kami) hanya mahu parti ini bersatu,” kata Khalid.

Beliau memberi contoh bekas mursyidul am allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan bekas presiden PAS Datuk Fadhil Nor yang turut mengalami masalah pada era kepimpinan mereka.

Hadi November lalu mengakui beliau mengalami masalah kesihatan. Faktor itu juga dijadikan alasan PAS Kota Bharu tampil sebagai pihak pertama mencalonkan pencabar Hadi.

Lihat Komen
ADS