Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemangku Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Dr Mahfodz Mohamad berkata beliau belum menemui calon yang benar layak bagi menggantikan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai presiden parti itu.

Walaupun tiada halangan bagi mana-mana kawasan mencalonkan pencabar kepada tokoh PAS itu, Dr Mahfodz berkata calon tersebut perlu "lebih baik" daripada Hadi dari segi ilmu dan ketokohannya.

"Jika nak lawan Hadi, (calon) mesti cari yang lebih baik. Namun setakat ini, saya tidak jumpa seseorang yang lebih baik daripada Hadi dari segi ilmu dan ketokohannya," katanya.

Beliau mengulas berhubung keputusan dua kawasan PAS - Kota Tinggi, Johor dan Batu Sapi, Sabah yang mencalonkan Naib Presiden Datuk Husam Musa sebagai pencabar Hadi.

Dengan keputusan tersebut melayakkan Husam mencabar Hadi. Peraturan mensyaratkan seorang pemimpin perlu mendapat dua pencalonan kawasan untuk bertanding jawatan dalam parti.

Bagaimanapun, bekas pesuruhjaya PAS Johor itu berkata, memandangkan Hadi dilihat sebagai pemimpin yang "tiada tandingan", beliau merasakan tiada calon yang wajar bertanding mencabar Hadi bagi jawatan itu.

"Sepatutnya tiada yang bertanding (cabar Hadi). Tapi, oleh kerana PAS mengamalkan dasar demokrasi, maka kita benarkan sesiapa bertanding," katanya yang ditemui selepas pembentangkan pindaan enakmen hudud di Kota Bharu hari ini.

Dr Mahfodz juga berkata mana-mana pemimpin boleh bertanding dalam pemilihan apatah lagi Hadi sendiri menyatakan tiada halangan kepada pemimpin parti untuk bertanding dan ia tidak menyalahi perlembagaan PAS.

PAS Kota Bharu sebelum ini menjadi kawasan pertama yang mencalonkan menamakan naib presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mencabar Hadi.

Tetapi beliau menolaknya dan hanya bersedia bertanding jawatan timbalan presiden.

Lihat Komen
ADS