Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Yadim nafi hantaran anak PM AS$500,000
Diterbitkan:  Mar 20, 2015 9:42 PM
Dikemaskini: 3:39 PM

Yayasan Dakwah Islamiyah (Yadim) menangkis dakwaan bahawa hantaran untuk perkahwinan anak perempuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebanyaK AS$500,000.

Pengerusi Yadim, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, gambar yang mendakwa jumlah hantaran sebanyak itu disahkan "palsu" oleh Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Paimuzi Yahya.

“Tadi dalam mesyuarat pasca kabinet, Ustaz Paimuzi mendedahkan bahawa sijil nikah anak PM telah dipalsukan dengan meletakkan nilai hantaran sehingga As$500,000,” kata Wajdi dalam tulisan di Facebook.

Menurutnya, JAWI akan mengambil tindakan kepada mereka yang tidak bertanggungjawab menyebarkan sijil nikah palsu itu.

Gambar tersebut menunjukkan sijil nikah di antara anak Najib, Nooryana dan pasangannya, anak kepada pembesar Kazakhstan, Daniyar Kessikbayev.

Sijil nikah itu turut tertera alamat kediaman rasmi Najib di Seri Perdana Putrajaya.

Sementara itu, Bernama melaporkan Paimuzi berkata maklumat mengenai mas kahwin dan jumlah hantaran yang tertera pada surat perakuan nikah itu adalah tidak benar selain sijil berkenaan tidak ditandatangani pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk JAWI.

"Pihak JAWI ingin menegaskan bahawa surat perakuan nikah berkenaan adalah palsu," katanya dalam kenyataan.

JAWI turut menyertakan salinan surat perakuan nikah palsu yang dilaporkan viral di media sosial dan salinan surat perakuan nikah asli bersama-sama kenyataan itu.

Kandungan dokumen palsu itu antara lain menyatakan nilai mas kahwin ialah RM111 dan jumlah hantaran sebanyak AS$500,000.

Salinan dokumen asli yang diperoleh daripada JAWI memaparkan nilai mas kahwin ialah sebanyak RM5,000 tanpa menyatakan belanja hantaran.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyempurnakan sendiri akad nikah pasangan itu dalam satu majlis di Putrajaya semalam.

Lihat Komen
ADS