Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pada malam Khamis lalu, Datuk Seri Najib Razak berlagak seperti seorang pensyarah kewartawanan. Katanya, pengamal media mesti profesional, bertanggungjawab, bla bla bla dan bla bla bla bla bla.

Orang media sebenarnya sudah muak mendengar syarahan seperti ini. Ia adalah syarahan biasa yang sering terpacul dari mulut ahli politik.

Biasanya, orang politik yang suka membangkitkan isu tanggungjawab media ini mahu mengelak daripada menjawab isu besar melibatkannya.

Kita tahu Najib sekarang berdepan masalah besar. Kata timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Isu dana 1Malaysia Development Bhd boleh (1MDB) meletup di muka Umno.

Bagaimana mahu terus jadi perdana menteri kalau bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pun memandang lekeh kemampuannya?

Orang politik juga biasanya tidak segan silu menyatakan kepada petugas media bahawa peringatan mereka ibarat nasihat daripada seorang bapa kepada anak.

Mereka tidak sedar, atau mungkin memang memasang harap agar nasihat seperti ini akan membuat orang media tidak ghairah untuk membongkar skandal salah guna kuasa dan rasuah.

Haruan makan anak

Lebih-lebih lagi jika peringatan ini diselitkan pula dengan nasihat supaya menjaga adab Melayu seperti bersopan santun dan hormat orang tua.

Apa yang dibimbangkan, pihak berkuasa yang dianggap sebagai bapa ini bertukar menjadi haruan makan anak, seperti yang diperhatikan seorang wartawan veteran, Fathi Aris Omar.

Bencana besar akan berlaku bila tiada pihak ketiga yang mampu menyemak pihak berkuasa ini, katanya dalam tulisan di Facebook.

Sebab itulah, orang media tidak perlu pergi ke majlis malam media seperti malam Khamis lalu, jika hanya untuk menadah telinga bagi mendengar Najib bersyarah mengenai mata pelajaran “Journalism 101”.

Warga media mahu perdana menteri yang berani mencabar mereka untuk mendedahkan masalah dalam pentadbirannya.

Tiada gunanya Najib bersyarah seperti pensyarah pencen mengenai tanggungjawab wartawan tetapi membungkam dalam isu sebenar yang perlu dijelaskan.

Selepas puas membebel mengenai tanggungjawab media, Najib seterusnya mengagih-agihkan hadiah pula kepada para wartawan dalam majlis tersebut seperti Santa Claus.

Inilah nasib wartawan di Malaysia. Jika kebetulan menang gula-gula seperti kereta dalam majlis PM, bagaimana pula kesannya pada objektiviti mereka dalam melaporkan isu pentadbiran Najib?

Beg isteri lebih mahal

Najib kelihatan sangat kagum ketika menyampaikan hadiah tersebut kepada pemenang. Tapi itupun bukanlah apa sangat.

Ada pemerhati yang melihat, beg tangan yang diperaga oleh isteri Najib ke sana ke mari itu jauh lebih mahal dari harga kereta tersebut.

Kita tahu, majlis seperti ini adalah masa untuk Najib beramah mesra dengan orang media dan bukannya untuk menjawab soalan seperti dalam sidang media.

Presiden Amerika Syarikat,Barack Obama juga ada menganjurkan majlis yang sama. Tapi ucapannya dalam majlis seperti itu bukanlah seperti pensyarah untuk penuntut asas kewartawanan.

Obama menggunakan peluang di satu majlis untuk membangkitkan isu besar – perubahan iklim dunia – yang tidak diendahkan oleh sesetengah ahli politik di negaranya.

Ucapan Obama disampaikan dengan cara separa lucu, dengan menampilkan seorang pelawak sebagai pembantunya agar beliau kelihatan tidak begitu marah-marah dalam satu majlis di Washington DC.

Tapi tujuannya memang begitu. Obama memang mahu dilihat serius dalam menangani soal perubahan iklim yang memberi kesan besar kepada negara itu.

Obama membuat ucapan itu di majlis makan malam bersama White House Correspondents' Association, akhir bulan lalu.

Ucapan Najib pula, dalam majlis Malam Media Perdana 2015 pada Khamis malam dengan para wartawan terkemuka negara ini.

Tapi cara Obama tidak seperti Najib yang paternalistik dan merendah-rendahkan wartawan ke tahap budak hingusan.

Lihat Komen
ADS