Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Seorang lagi ahli majlis PAS letak jawatan
Diterbitkan:  Jun 17, 2015 5:54 PM
Dikemaskini: 10:07 AM

Seorang lagi anggota PAS dalam kerajaan DAP Pulau Pinang meletak jawatan sebagai ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Surat peletakan jawatan Dahalan Fauzi itu diserah sendiri dengan tangan ke pejabat Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri Chow Kon Yeow petang semalam.

Dahalan yang merupakan ahli PAS Kepala Batas dilantik sebagai Ahli Majlis MPSP atas penamaan PAS tahun ini dan mengangkat sumpah jawatan itu pada 7 Januari lepas.

Chow dalam kenyataan hari ini mengesahkan penerimaan surat peletakan jawatan itu.

Beliau berkata Dahalan dilantik ke tiga jawatankuasa dalam MPSP iaitu Jawatankuasa Pelesenan dan Penguatkuasaan; Jawatankuasa Lalulintas dan Infrastruktur; dan Jawatankuasa Perancangan, Pembangunan dan Pengindahan bagi tahun 2015.

Semalam wakil PAS Mhd Nasir Yahya yang memegang jawatan dalam kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP melepaskan jawatannya sebagai ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Pada 6 Jun lepas, bekas Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, melepaskan jawatan sebagai ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang dan Penang International Halal Hub.

   

Langkah Mohamad itu diikuti Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang meletak jawatan sebagai ahli Lembaga Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) dan Ahli Lembaga Pengarah Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang.

   

Setiausaha PAS Pulau Pinang Mohd Fadzil Kemi yang berkhidmat sebagai Pegawai Penerangan gred S41 dalam kerajaan negeri pimpinan DAP itu pula ditamatkan perkhidmatan berkuat kuasa Jumaat lepas.

Kedudukan dua lagi ahli PAS iaitu Yang Dipertua PAS Kawasan Tanjong Yaacob Omar yang merupakan Ahli MBPP dan Yang Dipertua PAS Kawasan Permatang Pauh Omar Hassan masih menjadi tanda tanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS