Seorang pemilik rumah sewa di Bukit Setongkol, dekat Kuantan, Pahang merayu tuntutan RM100,000 daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) disemak semula selepas mendakwa kediamannya digunakan untuk perlombongan Bitcoin tanpa pengetahuannya.

Mah Soon Hin, 48 berkata tuntutan asal terhadapnya melebihi RM500,000 sebelum dikurangkan kepada RM100,000 selepas pertemuan dengan pihak pengurusan TNB Pahang.

Menurut Mah, tuntutan itu berkaitan pengubahsuaian sambungan elektrik secara haram untuk kegiatan perlombongan Bitcoin di rumah berkenaan.

Mah yang bekerja sendiri berkata dia tidak mampu membayar jumlah itu dan meminta TNB mempertimbangkan keadaan yang dihadapinya.

"Memang rumah ini milik saya, tapi saya sewakan kepada seorang lelaki kira-kira enam bulan lalu.

"Saya cuma jumpa dengan lelaki itu sekali saja masa mula-mula dia datang nak sewa rumah, lepas itu dia bayar sewa melalui mesin deposit tunai sebab dia cakap tidak ada akaun bank.

"Dia pun bayar sewa mengikut masa jadi saya tidak syak apa-apa hingga dapat surat TNB bulan lepas," katanya pada sidang media di Kuantan hari ini.

Sidang media anjuran wakil penduduk, Muhammad Faiz Hashim itu menghimpunkan lima pemilik rumah sewa sekitar Kuantan yang mendakwa berdepan masalah serupa.

Mah berkata meskipun jumlah tuntutannya sudah dikurangkan namun dia masih tidak mampu membayarnya.

"Jumlah (tuntutan) itu masih besar, saya mengaku tak mampu nak bayar.

"Jadi kami panggil sidang media ini dengan harapan agar rintihan kami mendapat perhatian pihak berkaitan," katanya.

Seorang lagi pemilik rumah, Noor Afiza Rujohan, 37, berkata rumahnya di Taman Sri Damai Sejahtera dekat Kuantan, disewakan sejak dua tahun lalu dan dipercayai digunakan untuk kegiatan sama.

"Sepanjang dua tahun, saya dan suami langsung tidak mengesyaki apa-apa dan penyewa pun membayar sewa tepat pada masa.

"Jadi apabila kami terima surat tuntutan daripada TNB, memang terkejutlah.

"Buat masa ini saya tidak pasti berapa jumlah sebenar tuntutan TNB kerana mereka sedang membuat penilaian kerugian akibat kecurian elektrik di rumah saya," katanya yang menetap di Lipis.

Noor Afiza berkata dia sudah bertemu pihak TNB Pahang tetapi setakat ini belum mendapat penjelasan mengenai masalah yang dihadapinya.

Sementara itu, Muhammad Faiz mendakwa pihak yang menjalankan kegiatan berkenaan memilih rumah berkembar dan kediaman berhampiran tiang elektrik TNB bagi memudahkan pengubahsuaian sambungan.

"Kebanyakan rumah yang menjadi mangsa kumpulan ini sama ada jenis 'corner lot' dan 'end lot' selain dekat dengan tiang letrik.

"Ini untuk memudahkan mereka mengubah suai sambungan secara haram untuk tujuan aktiviti melombong matawang digital itu," katanya.

Muhammad Faiz berkata dia sudah memohon pertemuan dengan pihak pengurusan TNB di ibu pejabat selepas berbincang dengan wakil TNB Pahang.

Katanya, mereka turut meminta bantuan pejabat Menteri Besar Pahang untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi pemilik rumah terbabit.

"Kita juga akan panjangkan perkara ini kepada Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (Petra) dan Ahli Parlimen Lipis, Abdul Rahman Mohamad selaku Timbalan Menteri Petra.

"Tujuan utama kami adalah untuk menuntut pembelaan sewajarnya, jangan hanya pemilik rumah dikenakan tindakan sedangkan penjenayah sebenar masih bebas di luar sana," katanya.

Wakil TNB Pahang ketika dihubungi Malaysiakini berkata perkara itu sudah dimaklumkan kepada ibu pejabat yang akan mengeluarkan kenyataan rasmi pada masa terdekat.

Pada 5 Mei lalu, Abdul Rahman dilaporkan berkata negara kerugian kira-kira RM700 juta secara purata setahun akibat kecurian elektrik untuk kegiatan perlombongan Bitcoin.