Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Syarikat konsesi mahu tol dinaikkan
Diterbitkan:  Jun 26, 2015 3:58 PM
Dikemaskini: 7:59 AM

Persatuan Syarikat-syarikat Konsesi Lebuh Raya Malaysia (PSKLM) bersedia mengadakan perbincangan dengan kerajaan untuk memohon kenaikan kadar tol di beberapa lebuh raya di negara ini.

Yang Dipertuanya, Datuk Ir Zainudin A. Kadir berkata keperluan kenaikan kadar tol ini wujud bukan hanya kerana ia adalah ketetapan jadual berkala yang dipersetujui dalam Perjanjian Konsesi, tetapi juga untuk memberikan perkhidmatan yang selamat dan selesa kepada pengguna lebuh raya.

"PSKLM mengulangi komitmen untuk menyediakan perkhidmatan dan fasiliti terbaik untuk pengguna serta menyelenggara kemudahan lebuh raya yang sedia ada.

"Kami percaya ia boleh dilakukan tanpa menimbulkan implikasi bebanan kewangan kepada kerajaan atau kesemua rakyat Malaysia dengan menggunakan konsep 'user pay', iaitu pengguna yang menggunakan kemudahan itu sahaja yang dikenakan bayaran," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, yang disiarkan portal Free Malaysia Today pada 24 Jun bertajuk 'Kerajaan Belum Putuskan Kenaikan Tol'.

Menurut Fadillah, Kabinet belum lagi membuat sebarang keputusan mengenai kenaikan kadar tol dan sebarang keputusan adalah dengan mengkaji kesannya kepada kedudukan kewangan negara.

Zainudin berkata anggota PSKLM akan terus berusaha untuk memperkenalkan pelbagai inisiatif dalam memberi lebih nilai tambah kepada orang ramai khususnya kepada pengguna lebuh raya.

"Inisiatif tersebut bertujuan untuk membantu orang ramai membuat penjimatan apabila menggunakan perkhidmatan lebuh raya seperti pemberian rebat tol, diskaun tol dan lain-lain.

"Bersempena dengan musim perayaan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang, rebat serta diskaun kadar tol akan diperkenalkan oleh sebahagian anggota kami dan maklumat lanjut akan diumumkan oleh syarikat masing-masing.

"PSKLM akan terus berusaha memastikan syarikat konsesi meningkatkan tahap perkhidmatan mereka termasuk menaik taraf kemudahan di lebuh raya di samping mencari pendekatan untuk menaikkan kadar tol," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS