Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Besar Selangor Azmin Ali hari ini menafi dakwaan penulis blog Raja Petra Kamarudin bahawa beliau pernah berjumpa Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengadakan konspirasi menolak Datuk Seri Najib Razak.

Malah, Azmin menyeru orang ramai agar jangan mempercayai penulisan blog Raja Petra.

"Jangan dengar Raja Petralah, dia cari makan," kata Azmin semasa menghadiri jamuan Aidilfitri di Kampung Melayu Batu Caves hari ini.

Selepas wartawan melontarkan soalan, Azmin pada mulanya berkata beliau pernah berjumpa dengan pemimpin Umno, termasuk Najib dan Muhyiddin untuk membincangkan isu air Selangor.

 

"Apalah, saya jumpa semua orang. Saya pernah jumpa najib, tak jadi isu ke?

"Saya jumpa Datuk Seri Najib, saya jumpa Tan Sri Muhyiddin, saya jumpa Datuk Seri Hishammudin......Kita bincang kepentingan negara.

"Saya jumpa Najib dan Muhyiddin untuk bincang soal air Selangor," kata Azmin.

Apabila wartawan bertanya sama ada wujud konspirasi anti-Najib seperti dakwaan Raja Petra, Azmin berkata: "Tak ada, kita tumpu soal selesai masalah air di Selangor."

Bagaimanapun, Azmin berkata beliau tidak lagi berjumpa dengan Muhyiddin setelah ahli politik dari Johor itu dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri.

Lihat Komen
ADS