Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
BERSIH: Berarak sebelum berkhemah di Dataran
Diterbitkan:  Aug 11, 2015 1:43 PM
Dikemaskini: 10:14 AM

BERSIH menetapkan perhimpunan besar keempat mereka bagi menuntut penambahbaikan sistem pilihan raya akan berkumpul di lima tempat tumpuan di ibu kota sebelum berarak ke Dataran Merdeka.

“Orang ramai dicadang berkumpul di lima tempat sebelum bergerak menuju Dataran Merdeka: Brickfields, Pasar Seni, Sogo, Masjid Negara, Dataran Maybank,” kata BERSIH.

“Kami telah menyusun pelbagai acara, termasuklah bengkel-bengkel pendidikan sivil, perbincangan awam, persembahan seni budaya serta aktiviti kerohanian selain pidato-pidato oleh pemimpin masyarakat untuk para peserta himpunan.”

BERSIH sebelum ini telah mengumumkan berhimpun dan berkhemah di tiga kota, termasuk Kuala Lumpur, bermula jam 2 petang 29 Ogos sehingga jam 11.59 malam 30 Ogos.

Mereka menuntut supaya pilihan raya bersih, kerajaan bersih, hak membantah, pengukuhan demokrasi berparlimen serta gesaan supaya ekonomi Malaysia diselamatkan.

Sementara itu, dalam kenyataan hari ini, BERSIH berkata telah memaklumkan kepada polis dan  Dewan Bandaraya Kuala Lumpur berkaitan perhimpunan BERSIH 4 dan menyatakan kesediaan berbincang.

Mereka berharap polis dapat memastikan keselamatan orang ramai dan lali lintas terkawal dalam perhimpunan aman itu.

Sementara menunggu perhimpunan itu, BERSIH berkata mereka menghargai inisiatif orang awam, termasuk melalui poster-poster kempen, kempen nyalaan lampu serta kempen “YellowRising Malaysia”.

Kempen itu menganjurkan rakyat Malaysia mula berpakaian kuning, atau mengikat kain kuning di pagar, pokok, beg dan sebagainya demi menyatakan sokongan kepada BERSIH 4.

“Bagi merancakkan lagi kempen ini, kami turut mengajak orang ramai untuk mengikuti ‘Bersih4 Challenge’, dengan mengambil gambar masing-masing secara selfie atau apa sahaja dan menyatakan kesediaan menyertai perhimpunan BERSIH 4, dan kemudian mencabar rakan-rakan mereka juga untuk melakukan perkara serupa,” kata gabungan itu.

Lihat Komen
ADS