Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS tak kerah ahli sertai BERSIH 4
Diterbitkan:  Aug 25, 2015 11:58 AM
Dikemaskini: 4:06 AM

PAS hari ini mengambil keputusan melawan arus dengan tidak mengerahkan anggotanya ke himpunan BERSIH 4 pada 29 hingga 30 Ogos ini.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan antaranya menjadikan alasan sedang menyiapkan sebuah program besar mereka Kongres Rakyat pada 12 September ini yang melibatkan pelbagai pihak.

"Maka PAS beranggapan seluruh komitmen sumber dan organisasi parti wajar digerakkan secara menyeluruh pada 12 September ini.

"PAS juga akan menganjurkan himpunan 60 ribu pada 17 Oktober ini yang sedang giat direncanakan," beliau dipetik sebagai berkata oleh Harakahdaily .

Takiyuddin juga berkata tarikh himpunan BERSIH yang hanya selang sehari dengan tarikh sambutan Hari Merdeka 31 Ogos dirasakan tidak sesuai.

Katanya, tarikh itu juga bertembung dengan program PAS yang lain, termasuk, siri jelajah Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden dan Perhimpunan Istiqamah Hingga Kemenangan di negeri-negeri pada setiap Sabtu dan Ahad hingga 3 Oktober.

Bagaimanapun beliau menegaskan PAS komited berjuang ke arah tuntutan demokrasi yang adil sebagaimana yang disuarakan oleh BERSIH sebelum ini.

Namun demikian jelasnya dalam akhbar web rasmi PAS itu, dalam masa yang sama ketenteraman awam serta kestabilan negara mestilah dijaga dan menjadi tanggungjawab semua pihak.

“Justeru, PAS akan menghantar wakil ke himpunan berkenaan sebagai tanda sokongan kepada tuntutan BERSIH terutama dalam aspek sistem pilihan raya yang lebih telus dan adil,” katanya lagi.

PAS sebelum ini memainkan peranan penting dalam setiap perhimpunan besar di ibu negara.

Selain terlibat menggerakkan orang ramai melalui ceramah-ceramah, parti itu juga sebelum ini tampil membantu mengawal keadaan dan lalu lintas hari perhimpunan melalui pasukan Unit Amal mereka.

Lihat Komen
ADS