Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
CPO: Himpunan rakyat bersatu patuhi APA 2012
Diterbitkan:  Sep 15, 2015 3:29 PM
Dikemaskini: 7:34 AM

Polis menerima permohonan pihak penganjur Himpunan Rakyat Bersatu mengadakan perhimpunan esok kerana mereka mematuhi segala syarat yang diperuntukkan dalam Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajuddin Md Isa berkata memandangkan perhimpunan itu mendapat kebenaran, pihaknya bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa dipelihara.

"Berikutan itu, polis akan memastikan bilangan anggota yang mencukupi untuk penugasan operasi pada perhimpunan itu yang berlangsung esok," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tajuddin berkata orang ramai tidak perlu bimbang untuk menjalani urusan harian seperti biasa di ibu kota.

"Saya menasihati mereka (orang ramai) supaya tidak mempercayai berita tidak berasas terutamanya yang disebarkan melalui media sosial," katanya.

Beliau berkata penyebaran berita seperti itu boleh menimbulkan kegusaran kepada orang ramai serta menggugat keharmonian dan ketenteraman awam.

Katanya polis tidak akan bertoleransi dengan pihak yang melakukan perbuatan atau provokasi berkaitan perhimpunan berkenaan.

"Tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada," kata Tajuddin.

Semalam, DBKL membenarkan penganjur untuk mengadakan perhimpunan aman itu di Padang Merbok.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS