Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS 'tidak mungkin' terima AMANAH
Diterbitkan:  Oct 3, 2015 4:23 PM
Dikemaskini: 8:28 AM

PAS "tidak mungkin" dapat menerima kerjasama dengan Parti Amanah Negara (AMANAH) yang kini didakwa giat menarik ahli dan merampas bangunan milik parti berkenaan, kata Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Tuan Ibrahim berkata, apabila PAS bergabung dengan PKR sebahagian besar kerusi parti itu diserahkan kepada rakan kerjasama dalam gabungan pembangkang.

Turut 'diserahkan' ialah jentera dan petugas parti.

Namun katanya, sekiranya PAS bergabung pula dengan Pakatan Harapan bermakna mereka sekali lagi perlu menyerahkan kerusi kepada parti baru dan ia "tidak mungkin berlaku".

"Soal agihan kerusi akan menjadi masalah utama. PAS tidak akan bergabung dengan Pakatan Harapan kerana tindakan DAP terhadap PAS. Melainkan DAP atau PKR sanggup bahagikan kerusi mereka kepada AMANAH.

"PAS akan tetap meletakkan calon di semua kerusi yang ditandinginya (sebelum ini) kerana itu adalah hak PAS. Jika komponen parti pembangkang lain khususnya AMANAH juga meletakkan calonnya, ia menjadi penyambung tali hayat kepada UMNO atau BN," kata beliau.

Yang untung DAP

Walaupun ada yang mendakwa PAS tidak akan memenangi kerusi dalam pilihan raya umum akan datang disebabakan kehilangan pengundi Cina, Tuan Ibrahim mendakwa, AMANAH juga tidak akan menang dengan undi Melayu di kalangan ahli dan penyokong PAS serta Umno.

"Ramai yang melihat yang bakal untung nanti mungkin DAP.

"Reaksi senyap rakyat terhadap tindakan terlalu mendesak dan tidak berkompromi ditunjukkan pimpinan DAP tidak dapat diagak seperti kesan terhadap sebahagian peti undi di beberapa parlimen dan kawasan dewan undangan negeri yang ditandingi dengan bantuan petugas PAS," katanya.

Tuan Ibrahim berkata, tindakan tergesa-gesa DAP, PKR dan AMANAH membentuk Pakatan Harapan menonjolkan kepada rakyat sikap terlalu mementingkan diri sendiri sesetengah pihak yang menjadi punca keretakan Pakatan Rakyat.

Tambah Tuan Ibrahim, PAS berharap tidak akan berlaku perpecahan kerjasama dengan PKR walaupun bibit perpecahan itu mula kelihatan.

Sejak Pakatan Rakyat berkubur, PAS hanya bekerjasama dengan PKR dan memutuskan hubungan dengan DAP.

Perselisihan itu berlarutan ekoran beberapa isu - terutama apabila membabitkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang - dan DAP.

Doa untuk PKR

AMANAH adalah parti baru yang dibentuk golongan progresif yang diketepikan oleh perwakilan muktamar PAS beberapa bulan lalu.

PAS kini dikuasai golongan konservatif dan sering menunjukkan sikap keras terhadap DAP dan AMANAH.

Kata Tuan Ibrahim, ketika ini ada pihak ingin menjadi juara dengan mengawal parti pembangkang lain.

"PAS mendoakan PKR tidak mengalami nasib yang sedang dialami oleh PAS.

"Perpecahan dalaman parti akibat campur tangan pihak luar yang mempunyai kepentingan tertentu akan melemahkan kekuatan suara pembangkang," katanya.

Beliau menjelaskan, pengalaman PAS akibat pertembungan dalaman menyaksikan muncul pelbagai parti kecil yang melambatkan proses perubahan kesedaran politik di kalangan rakyat.

Menurut beliau, sejarah panjang PAS menyaksikan bagaimana campur tangan pihak luar yang meresap masuk ke dalam parti dengan mengapi-apikan rasa tidak puas hati, melaga-lagakan pimpinan dan perbezaan pendapat di kalangan pimpinan menyebabkan berlakunya perpecahan.

"Kemelut dalaman yang berlaku ini tidak dinafikan sangat mengecewakan rakyat. Kerana setiap kali berlaku krisis biasanya ia akan berakhir dengan pembentukan parti baru. Parti serpihan ini tidak akan mampu mencapai sokongan sebagaimana parti induk," katanya.

Lihat Komen
ADS