Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan kesal apabila semua pihak mahu isu 1MDB diselesaikan tetapi tidak memberi masa untuk ia berlaku.

"Dari satu aspek, semua orang mahu 1MDB diselesaikan tetapi pada masa sama begitu banyak pihak mengkritik hampir setiap hari hingga menimbulkan kesukaran kepada 1MDB," katanya kepada Malaysiakini yang ditemui di pertandingan boling sempena Hari Sukan Negara di Putrajaya hari ini.

Abdul Rahman berkata, setiap syarikat memerlukan masa untuk menguruskan urusan perniagaan mereka tetapi 1MDB tidak diberi masa untuk mengatasi masalah.

"Dalam apa juga perniagaan, setiap syarikat memerlukan masa dan ruang untuk melakukan rasionalisasi.

"Anda perlu berikan 1MDB ruang untuk bernafas, ruang untuk bergerak, barulah kita boleh menyelesaikan isu ini," katanya.

Abdul Rahman berkata, susulan menerima kritikan berterusan 1MDB sukar untuk melaksanakan pelan rasionalisasi mereka.

"Jika semua orang mahu isu 1MDB diselesaikan, berilah masa. Lagi pun, perdana menteri telah meminta tempoh sehingga enam bulan," katanya.

Semalam, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali membersihkan pegawai 1MDB daripada dakwaan penyelewengan walaupun Bank Negara memanggil mereka untuk diambil tindakan.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pula menggelar Malaysia sebagai "negara pariah" dalam satu tulisan di blog beliau kerana tindakan pihak berkuasa menahan beberapa individu yang mempertikaikan isu 1MDB.

Kenyataan itu merujuk kepada penangkapan peguam dan bekas pembantunya Matthias Chang bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) serta bekas Naib Ketua Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Lihat Komen
ADS