Sumber: PN terima surat dari ROS isu batal pendaftaran
Perikatan Nasional (PN) berdepan kemungkinan dibatalkan pendaftarannya selepas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dikatakan telah menghantar surat kepada pemimpin utamnya melarang sebarang aktiviti atas nama parti gabungan itu dijalankan.
Surat itu dikatakan telah dihantar kepada pemimpin PN iaitu pengerusi Ahmad Samsuri Mokhtar dan setiausaha agung, Takiyuddin Hassan, semalam.
Malaysiakini difahamkan pemimpin PN diberi masa 30 hari untuk menjawab surat itu.
"Saya boleh mengesahkan bahawa pimpinan PN ada menerima surat ROS (mengenai pembatalan PN) semalam," kata sumber dari gabungan itu kepada Malaysiakini.
Malaysiakini sudah menghubungi ROS untuk mendapatkan pengesahan berhubung perkara ini.
Malaysiakini juga difahamkan parti-parti komponen PN telah dimaklumkan mengenai perkara berkenaan.
Perkembangan ini hadir ketika Bersatu - parti yang menerajui PN pada peringkat awal penubuhannya - dipinggirkan dari gabungan berkenaan, dengan PAS mengambil alih teraju kepimpinan.
PAS dilihat mendominasi kepimpinan PN - termasuk dalam beberapa siri pilihan raya negeri (PRN).
Pada 26 Jun, Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyindir Bersatu yang berhasrat untuk bertanding banyak kerusi dalam PRN Johor, namun menurutnya tiada jentera.
PAS juga sebelum ini menegaskan jentera parti mereka tidak akan digerakkan bagi membantu kempen Bersatu bagi PRN di Johor.
Begitu juga pada PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos lalu, Bersatu bertanding menggunakan logo sendiri dan tidak bersama PN.
Pada 7 Ogos lalu pula, Hadi berkata PAS menganggap Bersatu bukan lagi sebahagian daripada keluarga PN.
Jelasnya, ini selepas Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, menyatakan hasrat mereka untuk menubuhkan pakatan politik baru.
Sebelum ini, Muhyiddin dilaporkan berkata Bersatu akan membentuk gabungan baru yang dianggap lebih hebat bersama beberapa pertubuhan lain selepas PRN Negeri Sembilan.
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, gabungan baru tersebut antara lain akan turut membabitkan parti dalam Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) antaranya Putra dan Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai).
Rentetan itu, pada 11 Ogos, RoS mengesahkan menerima aduan rasmi daripada Bersatu berhubung dakwaan parti itu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) pada 16 Julai lepas serta isu berkaitan kedudukan
Malaysiakini turut menghubungi Takiyuddin untuk mendapatkan pengesahan berhubung isu ini.
Ketua Penerangan PAS, Fadhli Shaari dan Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden ketika dihubungi pula berkata mereka tidak mempunyai maklumat mengenai perkara itu setakat ini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/11/8c5e82598b23d548a7e1981315bf7a04.jpg)
