Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kemeriahan majlis perkahwinan itu memang tetap terasa. Dengan persediaan di pintu masuknya, penyambut tetamunya, laluan ke dewan utamanya, hiasan dalamannya.

Ketika kedua mempelai tiba, kemeriahan semakin terasa. Pengacara membacakan skrip yang disusun sebaik mungkin. Maklumlah, tetamu yang datang bukan calang-calang orangnya.

Ada yang berdarah raja, ada yang dipertua negeri, menteri dan bekas menteri.

Di hujung waktu menjamu selera Datuk Jamal Abdillah memperdengarkan suaranya dengan lagu Azura. Hadirin jadi semakin teruja apabila beliau menyampaikan lagu Seroja sebelum berundur dari pentas.

Ketika orang ramai masih terngiang-ngiang akan suara Raja Pop Malaysia itu, tiba-tiba bergema lagi suaranya membawakan lagu Kekasih Awal Dan Akhir.

Rupanya ia membayangkan bahawa majlis memang akan berakhir. Sejurus kemudian pasangan pengantin baru itu ditemani Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan isteri Datin Seri Shuryani Shuaib di pintu utama dewan menunggu tetamu berangkat pulang – seorang demi seorang.

Maka kelihatan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail bersama Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid berangkat pulang. Kemudian ada pula Tun Abdul Taib Mahmud bersama Toh Puan Ragad Waleed Alkurdi serta Tun Sakaran Dandai dan isteri.

Memang ada beberapa menteri yang hadir, tetapi boleh dikatakan mereka adalah kalangan anggota kabinet yang ‘berhaluan sederhana’ kerana kurang mendapat tempat di media massa berhubung isu panas semasa dalam negara.

Tidak kelihatan – misalnya – Datuk Abdul Rahman Dahlan yang gigih mempertahankan kepimpinan Datuk Seri Najib Razak daripada serangan luar dan dalam BN, atau Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Kesibukan masing-masing

Pemimpin utama Wanita Umno juga rasanya tidak kelihatan.

Ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin melangkah keluar perlahan-lahan, ramai tetamu bersalaman dan tidak kurang pula meminta beliau bergambar bersama. Permintaan itu tidak dihampakan Timbalan Presiden Umno itu.

Di sebalik kemeriahan berkenaan, seseorang mungkin boleh terlintas di fikirannya bahawa kenduri kahwin anak lelaki naib Presiden Umno itu tidak lebih daripada majlis ramah mesra ‘orang pencen’.

Najib yang juga presiden Umno tidak hadir, begitu juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Kita memahami kesibukan masing-masing,” kata seorang pegawai Mohd Shafie sambil tersenyum.

Menurut beliau, jemputan sudah dihantar kepada semua menteri dan timbalan menteri ketika majlis meraikan perkahwinan Mohd Shazwi Mohd Shafie dengan Siti Aimira Suhaidi dirancang.

Sesetengah menteri atau timbalan menteri, katanya, memberikan jawapan bahawa mereka tidak dapat hadir, manakala sesetengahnya pula tidak memberikan sebarang pengesahan.

Namun apa yang lebih menarik, ada beberapa menteri yang sudah mengesahkan kehadiran pada peringkat awal, tiba-tiba membatalkannya di saat-saat akhir.

Kecewa, kecil hati? Tidak

Tanpa mahu membuat tuduhan, sumber memberitahu, kemungkinan ada arahan daripada mana-mana pihak supaya menteri terbabit jangan hadir ke majlis berkenaan.

“Sebagai pihak yang pernah berada di posisi mereka sebelum ini, kami memahami.

“Mungkin juga kerana kegawatan ekonomi sekarang yang memerlukan mereka bermesyuarat bagi mencari penyelesaian,” katanya.

Adakah pihak Mohd Shafie kecewa atau berkecil hati?

“Tidak,” kata pegawainya, sambil mengulangi kata-kata bahawa mereka “memahami” apa yang menyebabkan sebahagian anggota kabinet gagal hadir meraikan majlis di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur itu.

Kata beliau, majlis yang diadakan itu dibuat sebagai acara santai dan bersosial sesama kenalan Mohd Shafie dan bukannya berbentuk politik.

“Tapi itulah,” katanya.

Menurut beliau, bukan semua pemimpin Umno kelihatan menjarakkan diri daripada Mohd Shafie yang digugurkan daripada kabinet Najib pada 28 Julai lalu.

Umno Selangor, katanya, menunjukkan sikap yang baik apabila semua pemimpin atasan parti berkenaan – termasuk ketua perhubungan dan setiausaha – hadir. Malah, katanya, kebanyakan ketua bahagian di Selangor juga hadir.

Bagaimanapun, Mohd Shafie adalah tokoh dari Semporna, Sabah.

Kehadiran lebih sasaran

“Datuk (Mohd Shafie) rileks saja. Beliau berpesan kepada pegawainya supaya jangan mendesak atau memaksa sesiapa untuk datang.

“Kalau menteri yang dijemput tidak memberi respons, biarlah,” katanya.

Ditanya mengenai jemputan yang dibuat, pegawai bekas Menteri kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata seramai 800 orang disasarkan.

Namun kehadiran malam tadi ternyata lebih daripada itu apabila dianggarkan kira-kira 1,100 orang yang hadir.

Selain Mohd Shafie, dua lagi Naib Presiden Umno ketika ini ialah Ahmad Zahid dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Mohd Shafie diketepikan daripada kabinet bersama Muhyiddin dalam rombakan kabinet lalu kerana kelantangan mereka membangkitkan cara perdana menteri menguruskan isu 1MDB serta “wang derma” bernilai RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun persendirian Najib.

Mereka menyertai Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sidang media bekas perdana menteri itu ketika beliau menyatakan rasa tidak senang terhadap cara kerajaan menahan pengkritik kerajaan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau lebih dikenali sebagai Sosma.

Turut hadir dalam sidang media itu veteran Umno yang juga anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, bekas Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Kiat dan bekas menteri Besar kedah yang pernah berkhidmat sebagai setiausaha agung Umno Tan Sri Sanusi Junid.

Sanusi turut hadir dalam kenduri Mohd Shafie malam tadi. Seorang lagi veteran Umno yang hadir ialah Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

Lihat Komen
ADS