Taiwan mengesahkan pihaknya menangguhkan rundingan pelaburan dua hala dengan Malaysia susulan kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai Taiwan dalam wawancara dengan Al Jazeera pada Ogos lalu.

Jurucakap Kementerian Luar Taiwan, Hsiao Kuang-wei berkata keputusan yang dibuat pada bulan lalu itu mengambil kira kedaulatan dan keselamatan ekonomi Taiwan serta bertujuan melindungi hak dan kepentingan pelaburnya.

Dia menyifatkan kenyataan Anwar sebagai “tidak mesra” dan berkata ia boleh menjejaskan keyakinan syarikat Taiwan untuk melabur di Malaysia.

“Bagaimanapun, kami terus berhubung dengan pihak Malaysia dan berharap kerajaan Malaysia mengakui hubungan pelaburan yang erat serta kepercayaan bersama yang sudah lama terjalin antara kedua-dua negara, sekali gus membuka ruang untuk menyambung rundingan,” katanya.

Taiwan menduduki tempat keempat dalam kalangan rakan dagang Malaysia pada 2025. Dagangan barangan antara kedua-dua pihak mencecah RM233.02 bilion, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Hsiao berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Nikkei Asia pada 9 Nov. Laporan itu memetik sumber kerajaan Malaysia yang tidak dinamakan sebagai berkata Taipei mengetepikan rundingan untuk memperluas dagangan dua hala yang dijadual berlangsung pada penghujung Oktober.

Nikkei Asia turut memetik seorang sumber yang rapat dengan pejabat perwakilan Taiwan di Malaysia. Sumber itu berkata kepimpinan Taipei “benar-benar marah” dengan kenyataan Anwar dan mendakwa Kuala Lumpur begitu “sedikit atau langsung tidak ada” menangani kebimbangan Taipei.

Melalui wawancara yang disiarkan pada 16 Ogos, Anwar menegaskan semula pendirian Malaysia mengenai Dasar Satu China dan berkata dia melihat Taiwan sebagai sebahagian dari China.

Apabila ditanya jika dia akan mengecam Beijing sekiranya China menggunakan kekerasan setelah usaha penyatuan secara aman gagal, Anwar mengambil contoh sebuah negeri di Malaysia yang cuba memisahkan diri.

Anwar berkata dia akan cuba menghalang pemisahan itu. Apabila pengacara bertanya lanjut sama ada dia akan menggunakan kekerasan atau tidak dalam senario tersebut, Anwar menjawab ya.

Pada 18 Ogos, Kementerian Luar Taiwan mengecam kenyataan Anwar dan menyifatkannya sebagai “palsu”.

Kementerian itu berkata Anwar “secara tidak munasabah” memberi gambaran Taiwan sebagai wilayah pemisah China dan secara terbuka mewajarkan pendirian Beijing untuk menggunakan kekerasan bagi mengambil alih Taiwan.

Dua hari kemudian, Anwar mempertahankan pendiriannya dengan berkata Malaysia mengamalkan Dasar Satu China sejak zaman perdana menteri kedua, Abdul Razak Hussein. Dia turut menekankan kepentingan mencari penyelesaian secara aman.


BACA BERKAITAN:

Kenyataan Anwar mengenai Taiwan mungkin uji dasar berkecuali Malaysia

Reaksi Taipei terhadap kenyataan Anwar