Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkongsi hadis Rasulullah SAW yang mengingatkan umat Islam supaya berlaku adil tanpa mengira kedudukan seseorang, beberapa jam selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan bekas perdana menteri, Najib Razak, menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Hantaran Anwar di Facebook itu memetik hadis riwayat al-Bukhari daripada Aisyah RA mengenai kehancuran umat terdahulu akibat mengamalkan layanan berbeza terhadap golongan berkedudukan tinggi dan golongan lemah dalam pelaksanaan hukuman.

Hadis berkenaan antara lain menyebut bahawa Rasulullah SAW tetap akan melaksanakan hukuman sekiranya puteri Baginda sendiri, Fatimah, melakukan kesalahan mencuri.

Bagaimanapun, Anwar tidak menyebut nama Najib atau mengaitkan hantaran itu secara langsung dengan keputusan mahkamah berhubung tahanan rumah bekas perdana menteri berkenaan.

Petikan hadis yang dikongsi Anwar berbunyi:

“Daripada Aisyah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya yang membinasakan umat sebelum kamu ialah apabila orang yang berkedudukan tinggi dalam kalangan mereka mencuri, mereka membiarkannya. Tetapi apabila orang yang lemah dalam kalangan mereka mencuri, mereka melaksanakan hukuman hudud ke atasnya.

“Demi Allah! Sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya aku akan memotong tangannya.”

Hadis itu diriwayatkan oleh al-Bukhari (3475).

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam memerintahkan Najib menjalani baki hukuman penjara enam tahun dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd di bawah tahanan rumah di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur.

Perintah itu berkuat kuasa serta-merta.

Hakim, Aslam Zainuddin, mengetepikan perintah terdahulu bertarikh 6 November yang membolehkan Najib dilepaskan selepas membayar denda.

Sebaliknya, mahkamah mengeluarkan perintah baru bagi membolehkan Najib menjalani tahanan rumah selaras dengan pengampunan bersyarat diraja.

Najib kemudian dibawa dari Penjara Kajang ke kediamannya dan tiba kira-kira jam 9.27 malam.

Mengikut perintah itu, Najib akan menjalani baki hukuman bagi kes SRC International sehingga 23 Ogos 2028 sebelum kembali ke Penjara Kajang pada 24 Ogos 2028 untuk menjalani hukuman berasingan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes SRC International.

Dia pada asalnya dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram berkaitan RM42 juta dana SRC International.

Pada 29 Januari 2024, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan memutuskan untuk mengurangkan hukuman penjaranya kepada enam tahun dan denda kepada RM50 juta.

Pada 18 September 2026, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, memberikan pengampunan bersyarat yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman kes SRC International di bawah tahanan rumah, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.

Najib membayar denda itu sepenuhnya pada 6 November lalu. Bagaimanapun, pelaksanaan tahanan rumah tertangguh berikutan isu berkaitan perintah pelepasan yang dikeluarkan mahkamah pada hari sama.

Jabatan Peguam Negara kemudian memohon penjelasan dan pembetulan terhadap perintah berkenaan.

Walaupun dibenarkan menjalani baki hukuman kes SRC International di rumah, Najib masih berdepan beberapa proses undang-undang lain, termasuk rayuan terhadap sabitan dan hukuman dalam kes utama 1MDB.

Pada 26 Dis 2025, Mahkamah Tinggi mensabitkan Najib atas 25 pertuduhan berkaitan penyalahgunaan kedudukan untuk memperoleh kira-kira RM2.3 bilion dana 1MDB serta pengubahan wang haram.

Dia dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion. Hukuman penjara itu diperintahkan bermula selepas Najib selesai menjalani hukuman bagi kes SRC International.