Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Malaysia bukan milik satu bangsa, kata MCA
Diterbitkan:  Nov 9, 2015 3:00 PM
Dikemaskini: 7:08 AM

MCA berang dengan kenyataan Biro Tata Negara (BTN) yang mendakwa tidak salah dengan melabel sesetengah rakyat Malaysia sebagai pendatang.

Timbalan Ketua Setiausaha MCA Wee Jeck Seng berkata bukan Melayu turut menyumbang kepada pembangunan negara dan mereka tidak harus dianggap sebagai pendatang tetapi adalah secara terang-terangan ‘rakyat’ di negara ini.

"Kami berang dengan Raja Arif (Raja Ali) yang, sebagai kakitangan awam kanan tetapi gagal memahami erti sebenar patriotisme," katanya merujuk kepada Pengarah BTN.

"Negara ini bukan milik satu kaum sahaja tetapi semua rakyat Malaysia. Tidak ada istilah pendatang di sini.

"Rakyat Malaysia yang dilahir dan dibesarkan di sini adalah warganegara Malaysia. Kesetiaan kami kepada Malaysia tidak boleh dipertikaikan, apatah lagi cuba dipadamkan," kata beliau dalam satu kenyataan.

Raja Arif minggu lalu berkata tidak salah untuk memanggil kaum Cina dan India di Malaysia sebagai pendatang kerana ia adalah fakta sejarah.

Wee, yang juga Ahli Parlimen Tanjung Piai, bagaimanapun, tidak bersetuju.

"Ini adalah fakta sejarah; semangat kesederhanaan, inklusif dan kepelbagaian telah diambil kira dalam penggubalan dan kemudian termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Katanya, Raja Arif tidak profesional dan tidak mematuhi ikrar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa tiada rakyat Malaysia yang patut dilabelkan sebagai pendatang.

"Kami dengan ikhlas menasihatkan Raja Arif, pengarah BTN, untuk berusaha mencari jalan agar mendidik golongan pelampau supaya membetulkan pemikiran mereka dan sebaliknya memupuk perpaduan dan keharmonian negara."

Lihat Komen
ADS