Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ketika peluangnya untuk bercakap kepada perwakilan tenggelam timbul, Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin kini mempunyai jalan lain.

Beliau dijadual akan bercakap kepada penyokongnya di pentas terbuka di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur, pada jam 8.30 malam esok – sehari sebelum perhimpunan agung Umno 2015.

Perkara itu disahkan oleh salah seorang pembantu bekas timbalan perdana menteri itu susulan penyebaran khabar angin mengenai majlis tersebut disebarkan di media sosial.

"Majlis itu ada," kata beliau yang enggan namanya disebut kepada Malaysiakini .

Majlis Tertinggi (MT) Umno sebelum ini memutuskan Muhyiddin tidak akan berucap merasmikan pembukaan mesyuarat perwakilan sayap Wanita, Puteri dan Pemuda seperti kelaziman sebelum ini.

Manakala keputusan sama ada Muhyiddin akan membuat ucapan penggulungan hanya akan diketahui selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Khas pada 9 Disember.

Jika menjadi kenyataan, program itu dilihat bakal menjadi ala ceramah, sekali gus dapat menjadi ukuran terhadap sokongan di kalangan penyokongnya.

Beliau sendiri dilihat sedang mencongak sentimen penyokong dengan meminta pandangan di Facebook berkaitan perkara penting yang patut beliau sampaikan jika dibenar berucap dalam penggulungan agung Umno.

Antara jawapan diterimanya termasuk seruan Najib meletakkan jawatan selain aduan mengenai kos sara hidup yang meningkat.

Muhyiddin dilihat belum bertindak cukup agresif selepas dikesampingkan daripada kabinet sebelum ini selepas lantang membangkitkan isu sekitar 1MDB, syarikat cetusan ilham Datuk Seri Najib Razak.

Sementara itu, Datuk Seri Shafie Apdal, seorang lagi naib presiden Umno yang senasib dengan Muhyiddin dijadual akan turut hadir majlis itu.

Seorang pembantunya mengesahkan kehadiran Shafie ketika dihubungi Malaysiakini sebentar tadi.

Lihat Komen
ADS