Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerjasama Umno-PAS bagi selamatkan Najib-Hadi, kata Zam
Diterbitkan:  Dec 23, 2015 1:24 PM
Dikemaskini: 5:28 AM

Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin percaya gerakan ke arah perpaduan PAS dan Umno lebih kerana dorongan kepentingan survival Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Katanya, perpaduan itu, langsung bukan untuk memenuhi idealisme perpaduan Melayu atau Islam mahupun impian rakyat.

Sebaliknya, isu perpaduan, menurut Zainuddin adalah demi keselamatan kerusi bagi parti masing-masing berikutan runtuhnya nilai-nilai ideologi parti mereka.

“Ketamakan kuasa dan kebencian melulu PAS terhadap Umno telah menjerumuskannya ke lembah kehinaan politik dengan penggadaian prinsip-prinsip utamanya, penjualan maruah parti, bersekongkong dengan pemimpin yang tidak bermoral dan tidak Islami,” katanya dalam tulisan di blog.

Menurut Zainuddin, demi menjayakan perpaduan Melayu, Najib harus berundur daripada kepimpinan negara manakala Hadi pula melepaskan jawatannya sebagai presiden PAS.

“Kedua-dua mereka (Najib dan Hadi) sudah hilang kredebiliti dan tidak mempunyai kekuatan untuk menjadi asas perpaduan PAS dan Umno untuk pemulihan maruah bangsa dan agama dan ekonomi negara,” katanya.

Bergelumang najis

Bekas ketua pengarang Utusan itu juga membidas Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang masih mendabik dada berhubung kesucian partinya tanpa menyedari ekornya bergelumang dengan najis.

“Dia melihat Umno sebagai biawak tetapi tidak melihat diri PAS sebagai ular berkepala dua,” katanya.

Tuan Ibrahim sebelum ini yang menegaskan PAS tidak sesekali menerima tawaran kerjasama dengan Umno walaupun dipelawa Najib kerana parti itu tidak akan bersekongkol “memikul biawak hidup” sepertimana yang pernah diucapkan Hadi.

Zainuddin menjelaskan yang menjadi penghalang besar kepada penerimaan rakyat peringkat akar umbi kepada usaha perpaduan PAS dan Umno ialah kepimpinan negara sendiri yang terpalit dengan isu 1MBD dan juga ‘derma’ RM2.6 b ketika keadaan ekonomi negara merosot.

Katanya, apapun penjelasan tidak akan diterima dengan baik oleh rakyat kerana pasukan pengurusan media Najib telah melakukan kesilapan dari awal lagi.

Beliau memberi contoh cara pentadbiran Najib menggunakan media arus perdana untuk menyerang Tun Dr Mahathir Mohamad yang katanya, tidak akan dapat menutup fakta bekas perdana menteri itu disanjung rakyat Malaysia.

“Apa pun cerita disebarkan sama ada bersifat fitnah atau benar terhadap kepimpinan Tun Dr Mahathir, tidak akan dapat menutup suatu era pimpinannya yang tersohor, bergelora dengan kebanggaan dan semangat tinggi rakyat dan negara mendapat sanjungan luar.

“Sebaliknya sekarang rakyat merasa kehinaan diri atas beberapa isu terutama sekali keadaan ekonomi.

“Contoh paling kecil hakisan ringgit dari hari ke hari sedangkan PM membuat beberapa kali janji ringgit akan naik semula. Sekarang beliau tidak lagi berani mengulangi kenyataan ini,” kata Zainuddin lagi.

Lihat Komen
ADS