Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ketua SPRM tak akan berundur kerana tekanan
Diterbitkan:  Jan 4, 2016 4:18 PM
Dikemaskini: 8:44 AM

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed tidak akan berundur daripada jawatannya atas tekanan mana-mana pihak.

Malah, kata SPRM, hanya keputusan sendiri atas sebab masalah kesihatan boleh menjadi penyebab itu.

Suruhanjaya itu bagaimanapun berkata buat masa ini tiada tekanan daripada mana-mana pihak yang meminta beliau menamatkan perkhidmatan.

“Untuk makluman, kontrak Tan Sri Abu Kassim sebagai ketua pesuruhjaya hanya akan tamat pada 2018 manakala persaraan wajib beliau dari perkhidmatan awam adalah pada tahun 2020,” kata SPRM dalam kenyataannya.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi mengulas laporan media yang menyebut Abu Kassim kemungkinan akan diganti atas masalah kesihatan.

Beliau dalam wawancara bersama Oriental Daily , yang disiarkan semula di laman web SPRM pada 24 Disember lalu, turut ditanya soalan sama.

Harian berbahasa Cina itu memberitahu Abu Kassim, berdasarkan maklumat mereka, kontraknya hanya setakat tahun 2016.

Beliau ketika itu telah menegaskan perkara sama tidak akan berhenti memimpin SPRM selagi masih sihat.

The Malaysian Insider pula melaporkan bahawa Abu Kassim mungkin akan diganti selepas suruhanjaya itu baru menyerahkan kertas siasatan berhubung kemasukan wang RM2.6 bilion ke dalam akaun perdana menteri.

Memetik sumber, portal itu melaporkan tahap kesihatan Abu Kassim sedang digunakan sebagai alasan dalam percubaan menggantikannya.

Abu Kassim sebelum ini dilaporkan bercuti atas sebab kesihatan ketika polis menyiasat beberapa pegawai SPRM yang mempunyai berkaitan dengan siasatan terhadap SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Lihat Komen
ADS