Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Azmin mahu Pakatan Harapan teruskan hubungan dengan PAS

Naib Presiden PKR, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali mahu Pakatan Harapan terus memperkukuhkan hubungan dengan PAS bagi meneruskan 'agenda reformasi'.

Katanya dalam politik, setiap pemimpin perlu berbincang dengan berhemah ketika menghadapi masalah.

"Kita hormati dan iktiraf parti-parti politik progresif dan pegang agenda reformasi.

"Hubungan dengan PAS dalam Pakatan Harapan akan terus diperkukuhkan," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan kakitangan Kerajaan Negeri Selangor di Shah Alam.

Azmin berkata demikian ketika ditanya mengenai masa depan PAS dan PKR dalam Pakatan Harapan termasuk amaran supaya PKR tidak menghadiri program yang dijalankan oleh Parti Amanah Negara (AMANAH).

Semalam PAS Kelantan menyatakan kekesalan mereka dengan tindakan pimpinan PKR menghadiri program anjuran AMANAH di negeri itu dan meminta ia tidak diteruskan "demi kebaikan bersama".

Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata tindakan seperti itu boleh menimbulkan ketidakselesaan dalam hubungan politik antara PAS dan PKR di negeri tersebut.

Sementara itu Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata, parti itu memahami rasa kurang senang PAS dan isu berkenaan akan dibincangkan dalam mesyuarat biro politik parti berkenaan Selasa ini.

Rafizi berkata, dia tidak tahu siapa pemimpin PKR yang menghadiri program AMANAH di Kelantan seperti dimaksudkan Che Abdullah. Bagaimanapun, katanya, adalah normal untuk pemimpin PKR menghadiri majlis seperti ceramah dianjurkan rakan pembangkang.

PAS - setakat ini - masih meneruskan gabungan politik dengan PKR namun memutuskan hubungan dengan DAP serta AMANAH. Pada masa sama PKR turut membentuk gagasan pembangkang di bawah Pakatan Harapan bersama DAP dan AMANAH.

Lihat Komen
ADS