Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah wal Jamaah Malaysia (Aswaja), Zamihan Mat Zain mendakwa mendapat ancaman bunuh untuk kali kedua dalam sejarah kegiatan dakwahnya.

Zamihan berkata seseorang yang dipercayai di Pulau Pinang, menulis komen di Facebook yang merangsang seseorang membunuhnya dan ia dikesan semalam.

Ditemui media di pejabat Aswaja di Bangi hari ini, Zamihan berkata walaupun individu tersebut tidak membuat kenyataan secara langsung mahu membunuhnya, komen berkenaan boleh mendorong mana-mana pihak mengancam keselamatannya.

"Insya-Allah saya akan membuat laporan polis dalam masa terdekat," katanya.

Ancaman itu dibuat ketika nama Zamihan terus dikaitkan dengan perdebatan dan dialog - yang gagal - antara beliau dengan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Dilihat sebagai pegawai agama yang keras dalam ucapannya terhadap Mohd Asri, Zamihan berkata ugutan berkenaan adalah yang kedua diterimanya setakat ini.

"Kali pertama berlaku pada tahun lalu membabitkan seorang kakitangan kerajaan di Lahad Datu.

"Dia memberi komen menunjukkan kematian saya adalah kemenangan kepada umat Islam tertentu," katanya.

Sebelum ini ada usaha untuk mempertemukan Zamihan dengan Mohd Asri melalui peranan yang dimainkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, tetapi tidak menjadi kenyataan.

Sementara itu sumber memberitahu kemungkinan besar Zamihan akan membuat laporan polis itu petang ini.

Lihat Komen
ADS