Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sajak Chairil Anwar, Aku , mendapat 'penghargaan' yang istimewa malam ini.

Di Kota Tinggi Johor, sebahagian daripada bait sajak popular penyair dari Indonesia itu berkumandang.

Dan pengucapnya pula bukan sembarangan orang, sebaliknya bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Aku ini binatang jalang, dari kumpulannya terbuang," ucap Timbalan Persiden Umno yang digantung tugasnya itu.

Kata-kata itu diucapkan Muhyiddin ketika beliau membuka bicara di program Bicara Rakyat Polemik Politik Masa Kini di Dewan Sri Teratai Kampung Batu Ampat‎, Kota Tinggi.

Turut hadir menemani Ahli Parlimen Pagoh itu ialah bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir - yang juga boleh dianggap sebahagian daripada "kumpulan terbuang."

Menyambung ucapannya Muhyiddin berkata walaupun dianggap "terbuang" namun beliau berasa tidak bersendirian.

Luka dan bisa kubawa berlari

Kenyataan itu merujuk kepada jumlah kehadiran orang ramai yang memenuhi dewan berkenaan.

Menjelaskan keadaan semasa Muhyiddin yang pernah berkhidmat sebagai Menteri Besar Johor itu berkata, apa yang sedang dihadapi negara kini membinggungkan rakyat.

"‎Ini disebabkan kepimpinan tidak mengambil daya usaha bersungguh-sungguh untuk menjelaskan perkara yang sebenarnya berlaku.

"Oleh kerana itu, ‎ramai yang mengambil langkah jelaskan (isu yang dibangkitkan rakyat) mengikut kefahaman mereka masing-masing," katanya.

Untuk makluman sajak Aku dibaca Chairil Anwar kepada umum untuk kali pertama pada Julai 1943 di Pusat Kebudayaan Jakarta.

Penulis daripada Angkatan '45 itu menulis Aku dengan membawa tema pemberontakan dari segala bentuk penindasan.

Berikut adalah sajak penuh Aku:

Kalau sampai waktuku

ku mau tak seorang kan merayu

tidak juga kau

tak perlu sedu sedan itu

Aku ini binatang jalang

dari kumpulannya terbuang

biar peluru menembus kulitku

aku tetap meradang menerjang

luka dan bisa kubawa berlari

berlari

hingga hilang pedih perih

dan aku akan lebih tidak peduli

aku mau hidup seribu tahun lagi.

Lihat Komen
ADS