Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pengguna berang, dakwa caj elektrik naik mendadak
Diterbitkan:  Apr 21, 2016 4:00 PM
Dikemaskini: 9:09 AM

Ramai pengguna melahirkan rasa tidak puas hati apabila mendakwa caj elektrik di rumah mereka naik mendadak sejak kebelakangan ini.

Sejak semalam, laman Facebook TNB Careline menjadi sasaran kemarahan orang ramai dan dihujani dengan pelbagai pertanyaan.

Mereka mendakwa bil elektrik melambung tinggi meskipun penggunaan harian daripada peralatan elektrik yang digunakan adalah sama.

Khairul Jazli berkata "Salam, bil elektrik melambung tahap melampau dari RM200 ke RM400 lebih sebulan. Tarif sama dan ini tak masuk akal," ujarnya.

Seorang pengguna Ah Lun Chew pula menunjukkan bil sebanyak RM357.65 yang diterimanya sedangkan beliau hanya tinggal berdua dalam sebuah rumah.

"Dua orang saja satu rumah, pagi kerja malam baru ada rumah. Bil kena RM357.65. Janganlah macam ni, kita pun makan gaji saja. Bayar bil sudah boleh bayar duit rumah satu bulan dah!" bentaknya.

Seorang pengguna Yong Zhuang berkata "Kenapa rumah saya elektrik bil banyak ah? RM110 tau, biasanya rumah saya RM80 ++ saja, mengapa bulan ini bil elektrik macam ini tingggi? Rumah saya tak ada guna pendingin hawa pun macam ini tinggi. Saya tak mahu dengar apa alasan tentang El-Nino, kamu rasa kita bodoh ke?".

"As salam TNB. Apahal bil elektrik saya mendadak naik sejak 2 bulan ni. Rasanya tak ada pun buat penambahan berkenaan dengan elektrik ni. Aircond pun saya pasang malam je, siang memang tak ada orang pakai dan jarang sekali ada orang dekat rumah," kata seorang pengguna lain, Hairey Zoul FZ.

Susulan itu TNB Careline dalam catatan di Facebook mendakwa cuaca panas terik dan kering yang berpanjangan mempengaruhi tabiat penggunaan peralatan elektrik khususnya pendingin hawa.

Katanya, pengguna lebih cenderung menurunkan suhu pendingin hawa pada tahap lebih rendah, meningkatkan kelajuan kipas pendingin hawa dan menggunakannya untuk tempoh lebih lama.

"Untuk makluman, penggunaan elektrik juga boleh meningkat bagi peralatan lama yang tidak diselenggara dengan baik.

"Kesemua faktor ini akan meningkatkan penggunaan elektrik secara mendadak serta memberi kesan ke atas bil elektrik pengguna. Pengguna yang mendapati bilnya meningkat bukan disebabkan faktor-faktor di atas, dinasihatkan untuk menghubungi pejabat TNB yang berhampiran," jelasnya.

Bagaimanapun, penjelasan tersebut masih tidak memuashati orang ramai dan ada antara mereka berkata tidak menggunakan pendingin hawa di rumah.

Suraya Adam berkata "Mengarutlah TNB Careline kenapa sekarang ni dalam masa yang sama serentak kebanyakan pengguna bil api naik?"

"Tak munasabah langsung jawapan dari kamu TNB Careline. Penggunaan saya macam sebelum El-Nino. Rumah batu sentiasa Panas. Kipas yang sama, kelajuan yang sama. Tiada penambahan kipas dan paling penting tiada aircond .. .tapi untuk bulan ni berganda naiknya," kata Ana Aziz.

Lihat Komen
ADS