Ketua Penerangan PAS, Fadhli Shaari menyindir Anthony Loke yang mengumumkan hasrat untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan tetapi masih meneruskan tugas rasmi seperti biasa.

Fadhli berkata Loke masih mengadakan lawatan rasmi ke China, menghadiri mesyuarat peringkat menteri dan terlibat dalam pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) selepas pengumuman itu dibuat.

Katanya, walaupun Loke masih sah sebagai menteri selagi peletakan jawatannya belum berkuat kuasa, tindakan itu menimbulkan persoalan dari sudut tatakelola.

"Apabila seorang menteri sudah mengumumkan mahu berundur atas dasar prinsip, sewajarnya tindakannya selepas itu turut menggambarkan bahawa beliau sedang menuju pintu keluar.

"Urusan rutin dan perkara mendesak tentulah perlu diteruskan, tetapi keputusan atau komitmen baharu yang mempunyai kesan selepas beliau berundur sepatutnya dibuat dengan lebih berhati hati. Kalau tidak mendesak, apa salahnya diserahkan kepada pengganti?" katanya dalam kenyataan media hari ini.

Pada 19 Sept lalu, Loke yang juga Setiausaha Agung DAP mengumumkan hasrat meletakkan jawatan sebagai menteri pengangkutan sebagai reaksi terhadap pengampunan bersyarat kepada bekas perdana menteri Najib Razak.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang berlangsung selama tiga jam di ibu pejabat parti itu di ibu negara..

"Kita capai satu keputusan saya tawarkan diri saya untuk meletakkan jawatan sebagai menteri pengangkutan.

"Ahli-ahli jemaah menteri (DAP) yang lain akan kekal berada dalam kerajaan," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat.

Bagaimanapun selepas pengumuman itu dibuat, Loke masih meneruskan tugas sebagai menteri pengangkutan seperti biasa.

Mengulas lanjut, Fadhli berkata jika benar Loke mahu berundur atas prinsip, proses itu perlu dilakukan dengan teratur dan urusan besar diserahkan kepada pengganti.

"Mungkin selepas ini kita perlu memahami bahawa perkataan 'resign' dalam politik mempunyai maksud yang agak fleksibel. Umum hendak berhenti dahulu, teruskan lawatan rasmi, bermesyuarat, tandatangan MoU, selesaikan jadual, kemudian balik baru urus soal berhenti.

"Rajin memang rajin. Cuma kalau sudah hendak keluar rumah, pelik juga kalau sempat tambah perabot baharu sebelum serahkan kunci," katanya.

Persoal peruntukan projek pengangkuitan P Pinang

Dalam kenyataan sama, Fadhli turut mempersoalkan projek pengangkutan bernilai lebih RM21 bilion yang menurutnya diluluskan Kerajaan Persekutuan untuk Pulau Pinang ketika Loke menjadi Menteri Pengangkutan.

Jumlah itu termasuk projek LRT bernilai RM16.8 bilion, pembesaran lapangan terbang RM1.55 bilion dan Pelabuhan Pulau Pinang RM2.2 bilion.

Fadhli menggesa Kementerian Pengangkutan mendedahkan angka projek mengikut negeri supaya rakyat dapat membuat perbandingan.

"RM21 bilion untuk Pulau Pinang sahaja memang angka yang besar. Kalau satu negeri boleh menerima projek pengangkutan sebanyak itu, tentu menarik juga kalau Kementerian Pengangkutan mendedahkan angka mengikut negeri supaya rakyat boleh membuat perbandingan yang adil.

"Pulau Pinang bukannya terlalu berbeza daripada negeri negeri lain, kecuali satu perkara yang sangat mudah dilihat: kerajaan negerinya diterajui DAP.

"Sebab itu ketelusan angka mengikut negeri penting supaya tidak timbul persoalan sama ada 'kerajinan' seorang menteri turut mempunyai sempadan politik," katanya.